7 Januari 2013

Berjuang untuk Malaysia

Kanang (kiri, duduk paling bawah) bersama rakan-rakannya dalam Rejimen Renjer Diraja. 
*****
NAMANYA tidak perlu diperkenalkan lagi. Laungan 'Agi Idup Agi Ngelaban' akan sentiasa terukir dalam lipatan sejarah sebagai kata-kata semangat dari seorang pahlawan gagah berani yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi tanah air tercinta.
Perkataan itu sering sahaja diucapkan beliau setiap kali terlibat dalam pertempuran dengan musuh. Ini kerana kata-kata tersebut umpama azimat kepada diri dan pasukannya supaya terus bersemangat menentang musuh.
Namun kini pelontar kata-kata azimat itu sudah tiada lagi. Datuk Temenggong Kanang anak Langkau meninggal dunia awal pagi hari Jumaat lepas, kira-kira pukul 1.45 pagi di Hospital Umum Sarawak.
Sebelum itu beliau menghadapi masalah kesukaran bernafas dan pengsan di rumahnya di Kampung Sungai Apong sebelum di bawa ke hospital pada pukul 12 tengah malam.
Mendiang dijadualkan dikebumikan hari ini bertempat di Makam Pahlawan, di Kuching.
Dilahirkan di Julau, Sarawak, pada 1945, Kanang menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962.
Beliau diserap ke dalam Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963. Kanang bersara dari perkhidmatan pada tahun 1986 selepas 21 tahun berkhidmat dengan jawatan terakhir Pegawai Waran 1.
Keperwiraan beliau sangat mengujakan terutama ketika terlibat dalam peperangan menentang komunis. Berketurunan Iban, beliau adalah anggota Rejimen Renjer Diraja dan merupakan Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Namun di sebalik kisah keperwiraan beliau, jauh di sudut hati Kanang sebenarnya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi tentera, bergelut dengan tanah, darah dan air mata menentang musuh.
PengorbananBagaimanapun itu tidak bererti beliau hanya menyertai tentera untuk sambil lewa dan semua itu terbukti dengan segala pengorbanan dan keberaniannya untuk negara sepanjang berkhidmat dengan tentera.
Satu perkara unik tentang Kanang adalah kebolehannya untuk mengenal semua selok belok dan rahsia hutan.
Ini kerana dengan keistimewaan yang dimilikinya itu telah membolehkan pihak tentera mengesan dan memusnahkan musuh komunis dengan lebih berkesan dan terancang.
Jika bagi orang lain hutan dilihat sebagai sesuatu yang membosankan tetapi tidak bagi Kanang kerana baginya hutan adalah sesuatu yang mendamaikan.
Kisah kehebatan Kanang di medan pertempuran pada 19 Februari 1980 dalam satu operasi di Tanah Hitam, Perak telah mengangkat namanya sebagai seorang 'panglima' yang dengan gagah berani berjuang menghapuskan komunis.
Masakan tidak nyawanya sendiri umpama di hujung tanduk namun menyerah kalah tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.
Ketika itu beliau berkhidmat dalam Platun Risik Gempur 8 Ranjer yang dalam usaha menjejak sekumpulan pengganas komunis yang telah menembak mati seorang anggota RAMD beberapa hari sebelumnya.
Setelah pihak musuh menyedari kedudukan mereka dikesan, mereka melepaskan tembakan membabi buta yang mengenai salah seorang anggotanya.
Melihat keadaan itu Kanang turut melepaskan tembakan tanpa henti sebelum menyelamatkan anggotanya yang cedera. Namun ketika itulah dua peluru musuh menembusi tubuhnya namun beliau sempat memancung musuh wanita yang cuba menembaknya.
Sekali lagi Kanang ditembak di bahagian badannya mengakibatkan usus perutnya terkeluar. Namun dengan hanya menggunakan garam yang ditabur di ususnya telah memulihkan keadaan dirinya sebelum luka tersebut dibalut dengan kain.
Hakikatnya akibat tembakan musuh, Kanang cedera parah di bahagian jantung dan buah pinggangnya.
Beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan dan berada di hospital selama 14 bulan.
Hakikatnya terlalu banyak jasa dan pengorbanan yang telah dilakukannya demi negara dan bangsa. Namun mengenali Kanang ternyata beliau adalah seorang yang sederhana dan tidak mahu terlalu gah bercerita tentang perjuangannya.
"Biarlah orang yang menilai diri saya kerana saya tidak mahu menilai diri sendiri," kata Kanang.
MenghargaiSepanjang hidupnya, Kanang pernah menerima beberapa pingat sebagai menghargai pengorbanan dan perjuangannya.
Pada 3 Jun 1981, beliau menerima dua anugerah, Panglima Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Sultan Ahmad Shah.
Pada 24 September 2011, beliau menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak 'Panglima Gemilang Bintang Kenyalang' (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk.
Sesungguhnya mencari seorang perwira seperti Kanang bukanlah satu perkara yang mudah. Mungkin dari 1,000 orang hanya seorang sahaja yang mampu menandingi semangat dan iltizam Kanang dalam perjuangan untuk nusa dan bangsa.
Bak kata pepatah, Harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati meninggalkan nama. Begitulah harumnya nama Kanang dalam sejarah negara.
Perjuangannya bukan dinikmati untuk dirinya sendiri tetapi untuk semua rakyat negara ini tanpa mengenal warna kulit dan agama selain jasanya menjadikan Malaysia tempat yang selamat dan aman damai untuk generasi mendatang.

Tiada ulasan: