PADANG TERAP 6 Jan. - Seorang bekas pemimpin Pemuda Pas peringkat cawangan, Ramlan Sabardin, 42, kesal dengan sikap sesetengah ahli Pas yang masih enggan menjamah makanan dimasak oleh ahli UMNO dalam majlis kenduri-kendara di kawasan ini.
Menurutnya, keadaan itu dapat dilihat dalam satu majlis kenduri tahun lalu, apabila ahli Pas bertindak menyiasat sama ada ayam dalam juadah kenduri itu disembelih oleh orang UMNO atau Pas.
"Perpecahan itu masih terasa di kawasan ini termasuk seorang ahli Pas menyekat seorang tukang masak yang membawa ayam sembelihan dengan bertanya, siapakah yang menyembelih ayam tersebut, orang Pas atau UMNO?," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kurung Hitam Perik di sini baru-baru ini.
Beliau mengulas kesan Amanat Haji Hadi sebagai reaksi terhadap pendedahan bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama C.N. Al-Afghani mengenai beratus ribu penyokong Pas masih berpegang pada amanat itu.
Ramlan berkata, ahli Pas terbabit tidak mahu menjamah ayam yang disembelih oleh ahli UMNO kerana menganggapnya sebagai tidak halal.
"Dalam Islam sendiri tidak mempunyai syarat itu, kenapa diada-adakan pula syarat tersebut," kata bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Pas cawangan itu.
Sepanjang penyertaannya dalam Pas dari 1989 hingga 1992, dia mendapati ahli Pas yang begitu taksub dengan amanat tersebut sanggup meminggirkan ahli UMNO atau sesiapa sahaja yang berkaitan dengan parti itu atau kerajaan.
"Saya saksikan sendiri ada ahli Pas yang sanggup tidak ke masjid berdekatan walaupun terletak di sebelah rumahnya kerana imam di situ dilantik oleh kerajaan dan bukan orang Pas," katanya.
Menurutnya, dia membuat keputusan untuk keluar daripada Pas kerana tidak tahan lagi bergelumang dengan aktiviti mempengaruhi ahli agar berpegang pada amanat itu dan menyebarkannya pula kepada orang lain.
"Saya sangat menyesal menyertai Pas yang memecah-belahkan sesama orang Islam dan kepimpinan Pas perlu bertanggungjawab atas masalah ini," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan