21 Januari 2013

Kebenaran sudah terserlah

Mukadimah
ISU penggunaan kalimah oleh dalam Bible mencapai kemuncaknya apabila pemimpin tertinggi Pas akhirnya akur dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang menolak pendirian bersama kepimpinan pakatan pembangkang menyokong penggunaan kalimah suci itu pada 8 Januari lalu. Majlis Syura Ulama dalam minggu ini membuat pendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja.
Namun seperti biasa kepimpinan pembangkang tidak akan berdiam diri dan akan berterusan ‘menekan’ Pas untuk akur dengan keputusan itu. Terbaru Pengerusi DAP, Karpal Singh berharap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu.
Menurut beliau kajian semula ini penting agar pendirian Pas terhadap isu kalimah berkenaan tidak bercanggah dengan pendirian pakatan.
Bagi Mufti Wilayah Persekutuan, DATUK WAN ZAHIDI WAN TEH semua ini berlaku hanya disebabkan kemahuan politik dan keinginan menggapai kuasa sehinggakan agama menjadi taruhan utama.
Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID beliau menjelaskan agama adalah perkara yang suci dan pertikaian politik tidak boleh diheret sekali. Ia tidak boleh dicampurkan dalam usaha untuk mendapat kuasa dan sebagainya.
Beliau yang bertanggungjawab mendedahkan penulisan seorang paderi dari Indonesia, Jahja Iskandar bahawa kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam, turut menyatakan sejak dari zaman awal Islam telah wujud satu pihak yang sering mendakwa mereka lebih arif tentang agama sehingga sanggup mengkafirkan orang Islam lain malah hingga ke tahap membunuh.
Ujarnya lagi, golongan sebegini akan terus wujud sehingga ke akhir zaman.
MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible yang sengaja ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?
WAN ZAHIDI: Bagi saya hal ehwal agama tidak sepatutnya dipolitikkan. Masalah yang timbul sekarang adalah kerana terdapat pihak yang mempolitikkan agama. Ada pihak yang menuntut supaya kalimah Allah dibenarkan penggunaannya dalam Bible yang mana saya lihat ia bermotifkan politik. Mereka ini mempolitikkan agama Kristian untuk kepentingan meraih undi dan sebagainya. Rakan mereka pula yang beragama Islam juga mempergunakan Islam untuk tujuan politik. Namun usaha pihak ini mahu mempolitikkan kalimah Allah ternyata gagal kerana agama dan politik tidak boleh dicampuradukkan sebarangan. Agama adalah perkara yang suci dan pertikaian politik tidak boleh diheret sekali. Ia tidak boleh dicampurkan dalam usaha untuk mendapat kuasa dan sebagainya.
Namun Alhamdulillah sudah timbul kesedaran dari masyarakat dan juga parti politik termasuk pembangkang yang menyedari bahaya tindakan ini. Apabila melibatkan isu agama apatah lagi kalimah Allah, kita tidak boleh berpolitik sehingga ke tahap begini. Jika nafsu ahli politik ini terlalu besar mereka akan sanggup mengorbankan apa sahaja untuk mencapai maksud politik. Seperti yang didedahkan Utusan Malaysia baru-baru ini apabila menyatakan 95 peratus ahli Pas tidak bersetuju apabila kepimpinan membenarkan kalimah Allah digunakan Bible, maka timbul kesedaran di peringkat kepimpinan bahawa tindakan mereka itu adalah salah.
Bagaimana dengan pihak Kristian, apa yang menjadi masalah kepada mereka dalam isu penggunaan kalimah Allah ini?
WAN ZAHIDI: Saya sangat berharap mereka akan sedar bahawa mereka sedang dipergunakan. Agama yang mereka anggap sebagai suci itu sudah dipergunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan-kepentingan lain. Adalah jelas tindakan pemimpin DAP yang memainkan isu ini bermotifkan politik dan akhirnya akan hanya memecahkan keharmonian yang kita kongsi bersama di negara ini. Tidak perlu sebenarnya mahu menjadi jaguh dengan cara sengaja menimbulkan masalah kerana sudah jelas tidak ada keperluan untuk menyakiti hati umat Islam dan juga mengelirukan penganut Kristian. Kenapa kita nak ikut permintaan Lim Guan Eng. Jika kita membenarkan nama Allah digunakan oleh penganut Kristian ia memberikan gambaran kita membenarkan nama Allah itu difitnah. Makanya nama Allah itu telah diselewengkan maknanya kerana Allah itu tunggal dan tidak beranak dan diperanakkan.
Datuk baru-baru ini mendedahkan kepada Utusan Malaysia tentang penulisan seorang paderi dari Indonesia, Jahja Iskandar dalam bukunya Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular, bahawa nama tuhan mereka yang sebenar dan paling sesuai adalah Elohim atau Yahweh. Boleh Datuk jelaskan?
WAN ZAHIDI: Pihak Kristian pun mendakwa bahawa nama Tuhan adalah sesuatu yang eksklusif seperti pandangan paderi Jahja Iskandar yang mana baginya nama Tuhan mereka yang utama adalah Yahweh, Elohim dan Adonai. Maka adalah salah jika nama Allah digunakan oleh penganut agama Kristian kerana ia tidak betul dan boleh dianggap murtad.
Saya ambil satu contoh dalam buku karangannya itu, dalam UI 32:3, Sebab aku akan menyeru Nama YAHWEH dan memuji kebesaran Elohim kita,". Terjemahan Jahja, Bagi Musa salah satu cara menghormati Tuhan adalah dengan menyeru nama Yahweh dan memuji kebesaran Elohimnya itu.
Tulisan beliau ini nyata mendedahkan penggunaan nama sebenar Tuhan bagi orang Kristian dan tidak perlu menggunakan nama Allah yang ternyata hak eksklusif bagi umat Islam. Sudah terdapat nama-nama yang lebih sesuai digunakan oleh penganut Kristian di Indonesia serta mereka di Sabah dan Sarawak. Pandangannya agak diterima di peringkat antarabangsa dan kajiannya meluas. Baginya nama Tuhan adalah penting kerana dia beranggapan sama seperti kita, boleh jadi murtad jika salahguna nama Tuhan. Kalau ikut kitab perjanjian lama nama Tuhan yang digunakan adalah Yahweh, mengikut bahasa Yahudi. Beliau juga rajin mengikuti perkembangan yang berlaku di negara ini seperti isu politik dan agama.
Apa pandangan Datuk apabila sebuah parti politik yang mendabik dada sebagai berteraskan Islam membuat keputusan menyokong penggunaan kalimah Allah dalam Bible tetapi kemudian menarik balik pendirian. Tidakkah ini memalukan mereka sendiri?
WAN ZAHIDI: Bagi saya parti seperti ini yang mengaku berteraskan Islam adalah sesuatu yang menjadi persoalan. Jika kita melihat kembali kepada sejarah awal Islam, pada zaman Saidina Ali yang mana timbul satu golongan yang mengatakan mereka lebih Islamik berbanding orang lain. Mereka pada mulanya menentang dengan kata-kata dengan hujah, debat dan sebagainya terhadap Saidina Ali dan sahabat. Namun kemudian mengangkat senjata kerana menentang pemerintah. Mereka mendakwa mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sehinggakan mengkafirkan Saidina Ali dan sahabat-sahabat yang lain. Inilah yang kita kenali sebagai golongan Khawarij. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri berkata akan wujud golongan seperti ini sehingga hari kiamat. Pihak-pihak ini terdiri dari mereka yang hanya faham separuh sahaja isi al-Quran tetapi mendabik dada sebagai bijak pandai sehingga mengkafirkan sahabat.
Mereka ini pula didokong oleh golongan yang berpengetahuan dalam agama, seperti mana yang berlaku sekarang, di mana ada golongan agama yang sering membuat pandangan yang mengelirukan masyarakat kerana kepentingan politik dan peribadi. Mereka ini hanya bertopengkan Islam malah terlalu bahaya jika dibiarkan berleluasa. Ini kerana mereka ini menipu dan memperdaya orang ramai kerana kepentingan politik. Seperti mana Khawarij, mereka membaca al-Quran tetapi kemudian membuat pandangan orang Islam boleh dibunuh sedang itu tidak benar. Mereka baca ayat dalam al-Quran yang diturunkan kepada orang kafir tetapi membuat pandangan ia boleh digunakan kepada orang Islam. Seperti yang diingatkan Rasullullah SAW, golongan ini bukan sahaja wujud pada zaman itu tetapi akan tetap wujud sehingga sekarang.
Apa sebenarnya agenda pihak ini dan mungkin ada penyelesaian terbaik untuk mengelakkan perkara sebegini berulang di masa depan?
WAN ZAHIDI: Bagi saya yang mendapat faedah besar dan cuba menjadi jaguh adalah orang politik. Sama ada pihak bukan Islam dan Islam kedua-duanya mendapat faedah politik yang besar untuk pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi. Bagaimana mereka hendak katakan ia membawa keuntungan secara langsung kepada penganut Kristian jika hakikatnya mereka boleh sahaja menggunakan nama-nama Tuhan yang dibenarkan dalam ajaran mereka. Jadi sudah tentu agenda politik yang menjadi perkara teras dalam hal ini dan pemimpin politik menyalahgunakan agama untuk memenuhi agenda peribadi mereka.
Sepatutnya pemimpin politik tidak menggunakan sentimen sebegini kerana mereka sedia maklum sensitiviti nama Allah di kalangan orang Islam. Ia hanya menyemarakkan lagi perseteruan antara agama. Begitu juga di kalangan pemimpin parti politik Melayu Islam, mereka tidaklah perlu sehingga menggadai agama dan pendirian hanya untuk kepentingan politik dan meraih undi. Tetapi saya juga mahu mengucapkan syabas dan tahniah kepada orang ramai terutama di sebilangan pemimpin dan ahli Pas yang berani menentang keputusan kepimpinan tertinggi mereka dan tidak mahu bersekongkol dengan mereka dalam isu ini. Adalah jelas, semangat tidak mahu bekerjasama dalam kemungkaran dan isu kalimah Allah ini masih kukuh di kalangan akar umbi parti berkenaan.
Bagi saya jalan penyelesaian terbaik adalah pihak penganut Kristian perlu melihat pandangan paderi Jahja Iskandar ini sebagai panduan terbaik dalam penggunaan kalimah atau nama Tuhan mereka. Seperti yang saya nyatakan tadi, nama utama Tuhan penganut Kristian adalah Yahweh, Elohim dan Adonai dan jika nama-nama ini digunakan untuk kegunaan mereka di Indonesia selain Sabah dan Sarawak, sudah tentu tidak timbul isu perebutan penggunaan kalimah Allah. Penggunaan nama yang betul ini sebenarnya lebih tepat kerana ia berlandaskan bahasa asal dan bersesuaian. Bagi umat Islam mereka perlu bertegas dan bersatu supaya penggunaan kalimah Allah ini hanya eksklusif untuk kita dan tidak boleh dikongsi bersama.

Tiada ulasan: