20 Januari 2013

Kerajaan Pas Kedah didesak buat kenyataan jelas

ALOR SETAR 16 Jan. - Kerajaan Pas Kedah didesak membuat pengumuman jelas berhubung garis panduan persembahan hiburan terbuka sempena Tahun Baharu Cina 2013 kerana panduan itu masih tergantung dan samar.
Ketua Pemuda Gerakan negeri, Tan Keng Liang berkata, meskipun Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan persembahan itu dibenarkan dengan tertakluk kepada pemakaian sopan, kenyataan tersebut tidak secara khusus membatalkan semua syarat lain dalam garis panduan berkenaan.
"Kerajaan Pas Kedah mesti membuat ketetapan akhir dan bukannya keputusan sementara yang tidak jelas. Sebuah kerajaan negeri sepatutnya mempunyai polisi yang jelas dan tetap tetapi dalam isu ini masih samar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kontroversi garis panduan persembahan hiburan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib untuk acara sambutan Tahun Baharu Cina 1Malaysia 2013 di Star Walk di sini pada 15 Februari ini.
Kerajaan Pas Kedah dilaporkan menetapkan garis panduan bagi persembahan hiburan terbuka termasuk menentukan cara pemakaian pegawai dan artis terlibat manakala nyanyian hanya dibenarkan menggunakan muzik minus one.
Garis panduan itu turut menetapkan hanya artis lelaki dan artis wanita peringkat sekolah menengah dibenarkan membuat persembahan, menyanyikan lagu berunsurkan ketuhanan atau nasihat dan pihak kerajaan negeri berhak menghentikan program serta-merta sekiranya semua syarat tersebut dilanggar.
Bagaimanapun selepas dikritik pelbagai pihak, Kerajaan Pas Kedah semalam akur untuk membenarkan wanita mengadakan persembahan dengan penganjur perlu memastikan setiap peserta sama ada lelaki atau wanita, kanak-kanak dan dewasa yang terlibat dalam satu-satu program tersebut mesti berpakaian sopan.
Keng Liang berkata, kerajaan negeri tidak boleh memandang ringan syarat-syarat lain dalam garis panduan itu kerana jika dikekalkan, dibimbangi akan menjadi permulaan kepada terjejasnya industri persembahan hiburan di negeri ini.
Beliau juga difahamkan pemakaian sopan 'dimaksudkan' adalah menutup bahagian ketiak, dada dan paha sekali gus menimbulkan persoalan apa akan berlaku kepada baju Cheongsam.
"Kami tiada bantahan kalau Kerajaan Pas Kedah ingin menetapkan garis panduan untuk pakaian sopan bagi hiburan terbuka. Persoalannya apakah mereka cuba mereka bentuk baju Cheongsam?
"Mengapakah kerajaan negeri masih enggan membatalkan semua garis panduan tersebut kerana ia dilihat mencabul hak asasi rakyat Kedah. Menteri Besar perlu menyelesaikan isu ini dengan serta-merta bagi kebaikan semua rakyat dan bukan Tahun Baharu Cina sahaja," katanya.
Keng Liang turut menyifatkan pengakuan Kerajaan Pas Kedah yang mereka tersalah pandang mengeluarkan garis panduan membabitkan acara dan program perayaan sempena Tahun Baharu Cina sebagai helah untuk menutup isu tersebut.
Dakwanya, berdasarkan semakannya di sebuah portal berita mendapati, kerajaan negeri pada September 2008 dilaporkan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk menggubal garis panduan hiburan di Kedah.
"Ini bukan masalah terlepas pandang kerana polisi ini sudah lama dirancang, bukan semalaman. Ia mungkin tidak diumumkan tetapi dilaksanakan secara perlahan-lahan seperti tindakan menaikkan kuota perumahan bumiputera," dakwanya.

Tiada ulasan: