WALAU apa pun ideologi politik anda, parti mana pun anda sokong, perlukah dan adakah bijak mengheret kanak-kanak dan bayi sekali dalam mana-mana perhimpunan politik yang berisiko untuk bertukar menjadi kacau? Saya ulangi berisiko.
Untuk apakah anak-anak kecil ini dilibatkan sama? Mengertikah bayi yang disorong di dalam stroller itu atau dipangku oleh ibunya mengenai apa yang berlaku dan diheboh-hebohkan di sekelilingnya.
Jika tindakan ini kerana mahu mengambil semangat daripada peribahasa Melayu iaitu melentur buluh biar dari rebungnya, ia sangatlah tidak wajar dan tidak sesuai kerana mempertaruhkan keselamatan anak-anak kecil ini. Janganlah sengaja hendak cari pasal.
Perhimpunan pakatan pembangkang di ibu negara Sabtu lalu, sudah tentu bukannya satu temasya sukan, bukan juga hari keluarga, hari keraian, hari kebangsaan atau ceramah agama.
Tetapi apabila banyak gambar bayi dan kanak-kanak dipaparkan, jika tidak dinyatakan dalam keterangan gambar perhimpunan apa yang disertai itu, ia bagaikan satu pemandangan menyambut hari kanak-kanak sedunia peringkat kebangsaan.
Kita tidak menafikan penyokong-penyokong parti pembangkang berhimpun dengan aman pada hari itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak turut menghargai kemampuan semua pihak termasuk penganjur dalam menangani perhimpunan tersebut.
Namun saya katakan ia berisiko kerana melihat kepada rekod dan pengalaman-pengalaman dalam beberapa siri demonstrasi Bersih yang lalu. Itu risikonya. Perhimpunan yang disertai parti kerajaan termasuk Perdana Menteri sendiri, ada atau tidak acara membaling botol air, batu, kayu, merosakkan kenderaan dan harta benda awam?
Membawa anak-anak kecil bersama-sama, dalam perhimpunan yang mungkin boleh bertukar menjadi kekacauan yang boleh sahaja dicetuskan oleh mana-mana pihak berjiwa kacau yang sememangnya tertunggu-tunggu peluang untuk membuat kacau tidak kiralah daripada siapa dan pihak mana yang memulakannya, tidakkah ia sama seperti mempertaruhkan keselamatan anakanak kecil yang menyertainya?
Sebab itu dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) mana-mana pihak yang di bawah umur 21 adalah dilarang menyertai perhimpunan seperti ini. Dalam pada itu, perbuatan ini juga menyalahi Akta Kanak-Kanak 2001.
Sudah tentunya, akta-akta ini diwujudkan untuk melindungi anak-anak kecil dan remaja ini. Ia bukan sama sekali mahu menyekat mereka meramaikan sesuatu majlis atau perhimpunan. Ibu bapa boleh fikir sendirilah apa risikonya.
Semua orang berhak dan boleh menyertai perhimpunan pada hari itu yang sudah diberi keizinan oleh pihak berkuasa. Ini tidak salah, pergilah, sokonglah siapa yang anda fikir berbaloi untuk disokong tetapi jangan beri susah anak-anak kecil ini. Nah, rupa-rupanya negara ini ada juga demokrasinya, membenarkan parti-parti lawan dan penyokong-penyokongnya mengadakan perhimpunan yang bukan sedikit sasarannya, sejuta orang yang motifnya tentu tidak memihak kepada kerajaan. Tetapi tetap dibenarkan.
Tetapi itu bukan topiknya, yang dipersoalkan mengapa perihal yang membabitkan keselamatan hendak diperlekeh dan dipandang mudah?
Soal keselamatan terutamanya kepada anak-anak kecil ini tidak sepatutnya dikompromi dan juga tidak perlulah dijadikan bahan untuk dipolitikkan. Sudah-sudahlah, semuanya hendak dijadikan isu politik. Mana yang membahayakan untuk anak-anak kecil, tetap bahayalah. Itu jangan hendak disangkal. Bila sudah terkena pada batang hidung sendiri, yang kena menanggungnya sendiri jugalah.
Pemimpin-pemimpin politik hanya boleh cakap simpati atau melawat di hospital dengan membawa buah-buahan. Yang sakitnya, anak sendiri.
Maka, yang sepatutnya mengawal perkara buruk ini daripada berlaku ibu bapalah. Bukan pihak berkuasa, apatah lagi pihak penganjur. Jadi mengapa perlu menanggung sebarang risiko?
Sedangkan sebagai ibu bapa andalah pelindung mereka. Kesakitan mereka, adalah kesakitan anda juga. Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap anak-anak, menyesal kemudian dan menyalahkan pihak itu, pihak ini, sudah tiada gunanya.
Melalui pengalaman-pengalaman lalu, jika ada yang berdarah, ada yang rosak itu dan ini, selalunya yang mendapat maki hamunnya ialah pihak berkuasa yang dikecam hebat gagal mengawal suasana atau memulakan provokasi. Tidak cukup dengan itu, gambar-gambar keganasan ini akan dijaja seluruh dunia. Tidakkah jika ia membabitkan kanak-kanak, golongan kecil yang tidak tahu apa-apa seperti mahu dipergunakan?
Jadi memegang kepada peribahasa Melayu, jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah adalah lebih baik golongan ibu bapa ini menunaikan tanggungjawab hakikinya iaitu melindungi anak-anak sendiri daripada sengaja mendedahkan mereka kepada bahaya.
Mahu berpolitik, mahu pergi perhimpunan, mahu sokong parti mana sekali pun, buatlah... jangan libatkan anak-anak kecil!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan