Dari kiri Lim Guan Eng, Nasharudin
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, penjelasan tersebut perlu untuk mengetahui niat sebenar Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung tuntutan yang dilakukan.
"Saya mahu tanya Guan Eng mengenai penggunaan kalimah Allah ini, adakah beliau akan tuntut digunakan juga dalam Bible versi bahasa Tamil dan Cina (Mandarin)?
"Kerana kalau tidak guna kepada kedua-dua Bible versi itu, mengapa beliau sibuk sangat nak gunakannya dalam Bible versi bahasa Melayu? Adakah beliau ada agenda tertentu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas isu kalimah Allah, kata nama khas bagi Tuhan orang Islam yang dicetuskan semula oleh Guan Eng dalam perutusan sambutan Hari Krismas baru-baru ini apabila menggesa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah itu dalam Bible versi bahasa Melayu.
Tindakan beliau telah menerima kecaman daripada pelbagai pihak yang marah serta menuntutnya menarik balik kenyataan dianggap sengaja menghina umat Islam di negara ini.
Kenyataan Guan Eng itu turut mengundang komen Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja.
Menurut Harun, agama lain termasuk Kristian tidak berhak sama sekali untuk menggunakan kalimah suci itu apatah lagi diguna pakai di dalam Bible versi bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan