TUMPAT 30 Dis. - Pemberian tanah seluas lebih 4,000 hektar di Gua Musang kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak merupakan habuan politik yang membolehkan Pas mendapat kompromi DAP bagi meletakkan pemimpin mereka sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian tanah itu merupakan perkara yang amat luar biasa berlaku di Kelantan tetapi berjaya dilakukan memandangkan ia membabitkan pemimpin pakatan pembangkang.
"Apa yang berlaku antara dua sepupu ini adalah sangat luar biasa daripada kelaziman dalam kepemimpinan DAP dan kita tahu kepemimpinan atasan DAP juga tidak boleh mempertahankan mereka.
"Ini merupakan habuan politik untuk mereka. Disebabkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin (Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak) yang merupakan salah seorang pemimpin Pas, atas kompromi DAP, maka telah dilantik menjadi Menteri Besar," katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor (2), di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan blog pisau.net sebelum ini yang mendakwa ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ming dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming ditawarkan tanah itu sebagai balasan menerima Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar pada 2008.
Namun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan kononnya beliau memberikan tanah bernilai lebih RM30 juta kepada pemimpin DAP itu dan menyifatkan berita tersebut fitnah.
Sementera itu, mengulas isu Amanat Haji Hadi, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan menasihatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan peluang yang diberikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk menjelaskan isu itu melalui RTM.
Katanya, Abdul Hadi perlu menjelaskan amanatnya pada 1981 itu bukanlah fatwa yang berlandaskan al-Quran tetapi adalah fatwa politik.
"Saya harap peluang yang diberikan digunakan sebaik-baiknya untuk menjelaskan isu yang mengakibatkan masyarakat Islam berpecah belah.
"Jelaskan ia bukan fatwa berdasarkan nas dan al-Quran tetapi itu adalah pendapat politik yang harus dibayar harganya dengan mahal kerana masyarakat Islam di beberapa kawasan berlaku perpecahan keluarga dan perkara itu perlu diperbetulkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan