9 Januari 2013

Salah kira undi libatkan semua CEC DAP?

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Kesilapan memalukan dalam proses pengiraan undi semasa pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP bulan lalu, berkemungkinan turut berlaku terhadap semua calon yang dipilih untuk menerajui kepimpinan parti itu.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, kesilapan itu tidak mungkin melibatkan seorang calon sahaja iaitu Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Abdullah.
"Mungkin juga undi yang diberikan kepada Guan Eng sendiri dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Pengerusi DAP, Karpal Singh telah tersalah kira.
"Saya hairan mengapa pula insiden tersalah kira undi itu melibatkan 'pertukaran' antara calon Melayu dan Cina sahaja," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas insiden memalukan DAP yang secara terbuka mengakui berlaku kesilapan pengiraan jumlah undi dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.
Zairil yang pada mulanya hanya mendapat 305 undi kemudiannya memperolehi 803 undi selepas keputusan pemilihan dipinda, sekali gus meletakkan anak tiri kepada Allahyarham Tan Sri Khir Johari itu pada kedudukan ke-20 dalam CEC parti tersebut.
Sehubungan itu kata Anuar, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP perlu mengadakan pemilihan semula CEC parti itu berikutan kredibiliti proses pengiraan undi sebelum ini boleh dipersoalkan.

Tiada ulasan: