Najib Tun Razak bersama Muhyiddin
Yassin dan para Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(JPM) selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan JPM di
Dataran Perdana Putra, Putrajaya semalam. - BERNAMA
*****
Hala tuju pertama, kata Perdana Menteri, adalah memastikan perpaduan nasional dan jati diri nasional terus diperkukuhkan berpaksikan Gagasan 1Malaysia di mana setiap rakyat dapat merasakan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang adil, saksama dan bersifat menyeluruh.
Kedua, katanya, menguruskan ekonomi dengan baik untuk memastikan pertumbuhannya terus berkembang dan pengagihan kekayaan kepada rakyat berdasarkan prinsip keadilan sosial.
''Ketiga, segala ketetapan dalam Bajet 2013 dilaksanakan dengan licin, lancar dan berkesan mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya ketika berucap menyampaikan amanat tahun baru sempena perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Hadir sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.
Perdana Menteri berkata, agenda seterusnya adalah program transformasi negara seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta Inisiatif Pembaharuan Strategik akan terus dilaksanakan kerana terbukti berkesan untuk pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Pelan Tindakan Pendidikan, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Panggilan 1Malaysia (1MCC) serta program baru yang akan dilancarkan tahun ini terkandung sebagai hala tuju kelima.
''Seterusnya, indeks prestasi utama para menteri dan kementerian dapat dicapai sepenuhnya serta yang ketujuh meneruskan penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan berdasarkan tiga aspek iaitu cepat, tepat dan berintegriti," katanya.
Beliau turut mengingatkan warga penjawat awam agar menekankan kepada produktiviti kerana permulaan 2013 menunjukkan negara semakin hampir kepada garis penamat tahun keramat 2020, justeru kemampuan untuk berdaya saing perlu ditingkatkan.
''Berdasarkan kepada kejayaan yang kita capai pada 2012, kita buka lembaran baru 2013 ini dengan semangat produktiviti tinggi untuk bersama-sama jadikan 2013 ini sebagai tahun yang cemerlang dalam lipatan sejarah negara," katanya.
Beliau turut berpuas hati apabila Malaysia tersenarai sebagai negara ketiga terbaik dunia yang menjadi pilihan pesara.
''Ini bererti dunia mengiktiraf kestabilan dan keamanan negara serta kemajuan ekonominya, selain nilai wangnya yang satu per empat sahaja dibelanjakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan berbanding nilai mata wang dolar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan