Pengarah Pusat Pengajian Undang-Undang Asia, Universiti Nasional Singapura, Prof. Andrew Harding (gambar) berkata, perubahan itu dibuat atas sebab keselamatan negara selain kepentingan memastikan keselamatan rakyat.
Menurut beliau, perubahan itu menjadikan Malaysia luar biasa kerana mengurangkan skop perundangan dalam keselamatan negara.
"Dulu banyak negara mengkritik Malaysia kerana undang-undang keselamatannya. Tetapi kini, negara-negara itu juga seperti Malaysia terpaksa bekerja keras memperbaiki keseimbangan antara keselamatan dan melindungi kebebasan awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Perlembagaan di Malaysia: Reformasi dan Menuju ke Hadapan pada hari terakhir Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini hari ini.
Tambah beliau, perubahan dalam perundangan yang bermula tahun lalu itu akan menyaksikan pembangunan signifikan dalam Perlembagaan dan perundangan negara sejak 1963 dan perkara tersebut berjaya menarik perhatian dunia.
"Tetapi ini bukan bermakna apa yang dilaksanakan itu betul dan tepat kerana debat mengenai proses reformasi itu sentiasa berlaku.
"Perkara ini memang patut berlaku dalam masyarakat demokratik terbuka seperti di Malaysia," katanya.
Beliau menambah, dalam demokrasi matang masyarakat mempunyai hak berdebat mengenai isu-isu kebebasan berpolitik, meletakkan tekanan kepada mereka yang berkuasa dan mempengaruhi pendapat umum.
"Dalam demokrasi matang, kerajaan juga secara sah boleh membuat konsesi terhadap pendapat awam dengan menyeimbangkan kepentingan negara dan rakyat.
"Semua ini adalah aktiviti normal bagi masyarakat demokrasi," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan