KUALA LUMPUR 10 Feb. - Desas-desus berhubung
penolakan golongan ulama di dalam Pas terhadap Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim daripada memegang jawatan Perdana Menteri jika
pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 turut
didedahkan beberapa blog politik tempatan.
Desas-desus itu turut diperkukuhkan dengan pendedahan mengenai
pertemuan antara Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dengan
Anwar di rumah tokoh ulama berkenaan di Bangi, Selangor pada 4 Februari
lalu.
Menurut blog http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com, pertemuan
itu bertujuan meminta Haron memujuk Dewan Syura Ulama Pas berhubung
penetapan Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri pembangkang seperti
diputuskan dalam mesyuarat 3 Februari lalu.
"Keputusan dewan ulama itu telah bocor ke telinga Anwar. Sebab itulah
selang sehari, Anwar segera memalukan diri untuk memujuk Haron Din
mendesak dewan berkenaan menarik balik keputusan mengenai status Perdana
Menteri," demikian menurut blog berkenaan dalam entri bertajuk 'Apa
Sebenarnya Berlaku Pada 4 Februari' semalam.
Mingguan Malaysia hari ini menimbulkan persoalan mengenai siapa yang
bakal menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pilihan
raya umum akan datang ekoran tercetusnya ura-ura Majlis Syura Ulama Pas
menolak Anwar menduduki jawatan berkenaan.
Menurut sumber, walaupun kesahihan pendirian Majlis Syura Ulama Pas
itu masih belum dipastikan namun keputusan tersebut didakwa dibuat dalam
satu perbincangan tertutup melibatkan beberapa ahli majlis berkenaan.
Sebahagian besar para ulama di dalam Pas merupakan ahli majlis syura ulama berkenaan serta anggota dewan ulama parti itu.
Sementara itu, blog http://medan-info-kita.blogspot.com menjelaskan,
kedatangan Anwar ke rumah Haron dibuat sejurus selepas mendapat tahu
keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang tidak mencalonkannya
sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya.
"Pertemuan pada malam 4 Februari (berlaku) di rumah Dr. Haron Din di
Bangi. Anwar bergegas ke sana untuk minta nyawa dengan Timbalan
Mursyidul Am itu.
"Mesyuarat majlis syura telah menetapkan bahawa mereka tidak akan
terima Anwar sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pakatan berjaya
menawan Putrajaya. Majlis syura berpendirian calon yang lebih layak
adalah Presiden Pas sendiri iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang," menurut
blog tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, blog http://www.anwaraidc.com/ pula
mendedahkan berhubung putar belit seorang individu melalui blognya yang
menyebut Haron yang mengadakan pertemuan dengan Anwar.
Sedangkan menurut blog itu, berdasarkan sumber dalaman mereka, Anwar yang bertemu dengan Haron dan bukan sebaliknya.
"Individu terbabit, orang Anwar, dia terbalikkan cerita kata Haron jumpa Anwar, walhal Anwar yang pergi jumpa Haron Din.
"Dia sengaja spin (putar belit) cerita, dia nak tunjuk Anwar masih
relevan hinggakan Haron terpaksa datang melutut kepada Anwar," kata
sumber blog tersebut.
Ketika ditanya keperluan Anwar bertemu Haron, sumber blog itu menjawab: "Anwar minta nyawa daripada Pas."
Khamis lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed
Hashim mendakwa, rakan-rakannya di dalam Pas mendedahkan penolakan
Majlis Syura Ulama Pas terhadap Anwar ketika ini semakin kuat.
Zahrain berkata, keadaan itu berlaku ekoran percanggahan pendirian
kepimpinan pembangkang dengan majlis itu dalam isu penggunaan kalimah
Allah oleh bukan Islam.
Sebelum ini, ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu, wakil
Dewan Ulama, Hairul Nizam mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri dan
bukannya pemimpin pembangkang lain.
Kenyataan beliau disokong beberapa lagi pemimpin Pas yang turut berada dalam majlis syura tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan