BEBERAPA peserta memijak dan menendang
patung Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim
Guan Eng sebelum konvoi 5,000 rakyat negeri Kedah menjelajah
bermotosikal bermula di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar, semalam.
*****
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, sambutan menggalakkan yang diterima hari ini juga menunjukkan kesedaran di kalangan anak muda Kedah untuk menyelamatkan diri daripada terus diperintah oleh pakatan pembangkang semakin meningkat.
Kedah merupakan negeri yang maju walaupun merupakan negeri yang 90 peratus penduduknya orang Melayu. Kedah berada di landasan yang betul sebelum ini, namun pada 2008 keadaan berubah setelah jatuh ke tangan pakatan pembangkang.
Jadi, hari ini saya kagum dan bangga dengan semangat luar biasa anak-anak Kedah yang turut serta dalam program ini yang menunjukkan sudah wujud kesedaran di kalangan mereka untuk kembali ke landasan yang betul seperti dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum melepaskan kira-kira 5,000 peserta program jelajah konvoi bermotosikal dan kereta menentang penggunaan kalimah Allah di dalam Bible versi bahasa Melayu di hadapan Masjid Zahir di sini hari ini.
Para peserta mula berkumpul di situ selepas solat subuh dan kira-kira pukul 10.30 pagi, kesemua mereka memulakan sesi jelajah ke seluruh negeri Kedah untuk mengumpul tandatangan umat Islam bagi menentang penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
Peserta turut membawa sepanduk yang tertulis Allah just for Muslim , Guan Eng, Karpal Singh, Nik Aziz, Hadi jangan bermain api, Kalimah Allah Hak Muslim dan lain-lain lagi.
Program jelajah itu berakhir kira-kira pukul 1.30 petang dan para peserta disambut oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir di Dewan Putri Lindungan Bulan di Padang Sera, Jerlun.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali serta Pengerusi Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail.
Menurut Ibrahim, program tersebut diharap dapat membawa perubahan positif di kalangan rakyat Kedah kerana setiap peserta membawa bersama mereka borang khas untuk melakukan tinjauan di lokasi yang mereka singgah.
Ada tiga isu yang akan ditanya kepada orang ramai oleh peserta program iaitu isu pembalakan di Pedu, isu penggunaan kalimah Allah dalam bible versi bahasa Melayu dan isu Madrasah Salihiah yang dirobohkan.
Peserta program meninjau pendapat orang ramai mengenai tiga isu ini dan kita akan kumpul borang-borang khas ini pada penghujung program di Dewan Orang Ramai di Lindungan Bulan untuk kita kaji," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan