4 Februari 2013

Jangan biar tanah diagih pihak luar

BACHOK 1 Feb. - Rakyat Kelantan yang bercadang mengundi calon Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak secara tidak langsung menyokong dan menghalalkan lebih banyak lagi tanah di negeri ini terutama di hulu Kelantan diagihkan kepada orang luar.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, pembahagian tanah kira-kira 4,000 hektar di Gua Musang sebelum ini kepada pemimpin DAP Perak sepatutnya menjadi pengajaran kepada rakyat Kelantan.
Beliau berkata, perkara sama akan terus berulang termasuk pajakan tanah selama 99 tahun kepada bukan pemastautin yang kononnya bagi projek ladang rakyat sekiranya Pas terus disokong oleh rakyat.
"Jika mahu menghentikannya rakyat tidak perlu lagi mengundi calon Pas yang bertanggungjawab ke atas pemberian harta rakyat kepada pihak tidak sepatutnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina Kedai Jelawat, di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya berdolak-dalik mengenainya dan wajib bertanggungjawab terhadap isu itu pada pilihan raya umum kelak.
"Pada saya tanah di Kelantan adalah hak milik rakyat negeri ini sekalipun diberi kepada orang luar dengan pelbagai alasan dan taklik.
"Mereka ingin mengaut keuntungan cepat tanpa memikirkan pajakan 99 tahun itu adalah satu tempoh terlalu lama seolah-olah memberi hak milik kepada orang luar. Adalah lebih baik tanah ini diagihkan kepada rakyat keturunan Siam dan Cina tempatan untuk dimajukan," katanya.
Awang Adek berkata, adalah malang bagi rakyat Kelantan apabila kerajaan yang mereka beri mandat selama ini menggunakan tanah rakyat sebagai tebusan politik, sedangkan masih ramai rakyat miskin dan tidak memiliki tanah sepatutnya diberi keutamaan.

Tiada ulasan: