MARANG 7 Feb. - Kontroversi pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa jelas memberi gambaran bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh paling berkuasa dan amat berpengaruh dalam pakatan pembangkang untuk membuat sesuatu keputusan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau percaya sekiranya ada desakan daripada Karpal agar Nasharudin dipecat keahliannya dalam Pas, kepimpinan parti itu tetap akan akur dengan arahan itu.
Beliau memberitahu, segala keputusan yang dibuat Pas menunjukkan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu pasti akan tunduk kepada DAP atau parti sekutu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kalau DAP minta Nasharudin dipecat (keahlian), dia akan dipecat dan Pas tak akan buat keputusan sendiri. Bagi saya, semuanya arahan DAP dan PKR. Kalau DAP atau PKR kata, pecat saja (keahlian) Nasharudin, esok dia (Pas) akan pecat.
Dari segi politik, dia nak tunjuk ada demokrasi. Kalau dia (Karpal) suruh pecat, dia (Pas) akan pecat sebab kuasa yang terbesar adalah Karpal, bukan Perlembagaan Pas," katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan program Petronas Marang dan Sehari Bersama Pelanggan di Dataran Petronas Seberang Marang dekat sini hari ini.
Ismail Sabri mengulas isu pemecatan Nasharudin sebagai anggota Majlis Syura Ulama parti berkenaan.
Menurutnya, Pas kini dilihat sebagai sebuah parti yang tidak lagi mempunyai suara, sebaliknya didominasi oleh DAP dalam apa juga perkara termasuk soal agama.
Mana boleh Karpal cabar Majlis Syura Ulama supaya tarik balik arahan dan fatwa penggunaan kalimah Allah. Mana boleh Karpal mengatasi Majlis Syura Ulama? Maknanya hari ini, dalam isu agama pun, kuasa dalam pakatan adalah Karpal. Karpal atasi Nik Abdul Aziz, Majlis Syura Ulama dan juga Pas," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan