13 Februari 2013

Manifesto Barisan Nasional Kedah turut tekankan alam sekitar

JERLUN 10 Feb. - Pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan hasil hutan secara lestari antara kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya akan mengetengahkan pendekatan lain dalam usaha membangunkan ekonomi negeri tanpa terlalu bergantung kepada hasil balak jika berjaya menawan semula pentadbiran negeri daripada pakatan pembangkang.
"Percayalah soal pemuliharaan alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kandungan manifesto yang akan saya huraikan secara mendalam apabila tiba masanya nanti.
"Ada banyak lagi cara untuk kita tingkatkan pendapatan negeri dan pada masa sama memulihara alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kawasan Rukun Tetangga Batu 1 Jalan Sanglang di dewan kampung itu, di sini hari ini.
Kerajaan Pas Kedah pada masa ini didakwa terlalu bergantung kepada balak sebagai sumber utama dalam menjana ekonomi negeri sehingga akhirnya alam sekitar menjadi mangsa.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap risiko yang bakal dihadapi akibat kerakusan pembalakan menyebabkan mereka bangkit menyuarakan bantahan termasuk terbaharu semalam, kira-kira 10,000 orang muda berhimpun secara aman di Charok Batang Padi, Pedu.
Mukhriz berkata, hutan asli, hutan simpan dan hutan bernilai tinggi tidak boleh diterokai dengan rakus demi memulihara khazanah alam semulajadi untuk tatapan generasi akan datang selain boleh dijadikan sebagai kawasan pelancongan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto BN Kedah berkata, memandangkan pembalakan juga berkaitan dengan industri kayu kayan seperti perabot, pelbagai kaedah dan langkah boleh diambil bagi mengembangkannya tanpa perlu mengorbankan alam semulajadi.

Tiada ulasan: