SALAH sebuah rumah tradisional Melayu yang masih bertahan di Kampung Malaysia Raya, walaupun semakin dihimpit pembangunan.
*****
Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan kewujudan kampung di tepi Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) sebagai titik pertembungan antara kehidupan kota dan desa.
Bermula dengan laungan azan Subuh yang memanggil penduduk untuk bersolat jemaah, cara hidup tradisional dan keharmonian masyarakat Melayu berterusan sehingga jauh ke tengah malam.
Pada awal pagi misalnya, beberapa buah warung dan gerai masih penuh dikerumuni ibu bapa yang mencari sarapan untuk anak-anak. Di jalan raya pula generasi muda dan sebahagian daripada warga emas gigih berlari untuk kekal cergas.
Dan di halaman setiap rumah, golongan ibu tekun menyapu dan membakar sampah. Tidak kurang juga yang asyik bersembang dalam kumpulan-kumpulan kecil.
Itu antara gambaran suasana kampung yang masih boleh dilihat jika anda meluangkan masa sehari di Kampung Malaysia Raya. Sejak dibuka kira-kira 40 tahun lalu, masih banyak nilai-nilai tradisi masyarakat Melayu yang dikekalkan.
Keunikan sebagai kampung tradisional bukan sahaja melayakkan kampung itu menang pelbagai anugerah dan pertandingan bahkan mengangkat martabat sebagai kampung contoh yang cemerlang di negara ini.
Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd. Zainuddin Amran berkata, kejayaan demi kejayaan yang dicapai membantu meningkat pengurusan kampung menjadi lebih teratur dan sistematik.
Rahsia kejayaan Kampung Malaysia Raya menurutnya terletak pada kecekapan pentadbiran ahli jawatankuasa kampung yang tidak pernah putus asa untuk melihat kampung tersebut terus maju.
"Apa yang dikecapi sekarang adalah kesan daripada penstrukturan semula organisasi kampung sejak 10 tahun lalu.
"Keberkesanan pentadbiran kita datang daripada penyatuan semua organisasi di bawah satu pengurusan yang cekap,'' katanya kepada S2 baru-baru ini.
Struktur organisasi kampung tersebut dibahagikan kepada biro pembangunan, pendidikan, ekonomi, remaja, kebajikan, wanita dan publisiti.
Mohd. Zainuddin berkata, antara pencapaian yang diperoleh termasuk Johan Kecemerlangan Kampung Tradisional, Skim Rondaan Sukarela paling aktif di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Rukun Tetangga Paling Inovatif.
Katanya, hasil daripada pengiktirafan itu, Kampung Malaysia Raya kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan kelengkapan yang tidak terdapat di kampung-kampung lain di negara ini.
"Semua kejayaan yang dinikmati hari ini tidak mungkin dikecapi tanpa penglibatan dan kerjasama penduduk.
"Salah satu daripadanya adalah pintu gerbang yang dihadiahkan selepas memenangi Pertandingan Kampung Tradisional dua tahun berturut-turut pada 2005 dan 2006 ," katanya yang juga Tokoh Rukun Tetangga bagi tahun 2011 dan 2012.
Sebagai pengurus kampung, Mohd. Zainuddin mengakui kegigihan mentadbir Kampung Malaysia Raya menuntut komitmen dan minat yang mendalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan