6 Februari 2013

Najib dikunjungi delegasi Guangxi Zhuang

Najib Tun Razak menerima cenderamata berupa dram gangsa daripada Peng Qinghua ketika menerima kunjungan hormat Qinghua dan delegasi dari Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
*****
PUTRAJAYA 4 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat rombongan dari Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di pejabatnya di sini.
Rombongan yang diketuai Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang Parti Komunis China (CPC), Peng Qinghua itu mengadakan perjumpaan selama 30 minit dengan Perdana Menteri.
Anggota lain dalam delegasi itu termasuk Naib Gabenor Guangxi, Lan Tianli; Timbalan Setiausaha Agung Pejabat Jawatankuasa CPC Guangxi, Lin Huaiyong; Timbalan Setiausaha Agung Kerajaan Guangxi, Wei Ran; Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Guangxi, Li Wenjie; Pengerusi Guangxi Beibu Gulf Port Group, Ye Shixiang dan Duta China ke Malaysia, Datuk Chai Xi.
Anggota delegasi itu membincangkan mengenai kemajuan pembangunan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou di China.
Di akhir perbincangan itu, Najib menerima dram gangsa daripada rombongan berkenaan. Dram gangsa membawa maksud kuasa, tuah dan berkat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik China (CPPCC), Jia Qinglin dijadual tiba di ibu negara malam ini.
Dalam tempoh lawatan Qinglin ke Malaysia dari 4 hingga 7 Februari, beliau akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menubuhkan kampus Universiti Xiamen di Malaysia di Salak Tinggi.
Menurut jadual awal lawatannya, Qinglin akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Perdana Menteri.
MCKIP terletak di satu kawasan strategik iaitu kira-kira 1,104 batu nautika ke Taman Perindustrian Qinzhou, China dengan anggaran tiga hingga empat hari masa pelayaran.
Idea penubuhan MCKIP dicetuskan sebagai tindak balas kepada Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia yang diberikan status kebangsaan oleh Majlis Negara China.
Taman itu merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia yang dimajukan secara bersama oleh Malaysia dan China pada anggaran kos kasar pembangunan sebanyak RM1.5 bilion.
MCKIP yang akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 5,500 dengan nilai jumlah pelaburan menjelang 2020 sebanyak RM7.5 bilion.
Majlis pecah tanah untuk taman perindustrian itu akan diadakan esok dan akan disempurnakan secara bersama oleh Najib dan Qinglin. - BERNAMA

Tiada ulasan: