LAWATAN Perdana Menteri Malaysia ke Ghaza. Palestin dan pertemuan beliau dengan Presiden Mesir, Mohammed Morsi adalah suatu titik sejarah yang menarik untuk dijadikan renungan umat Melayu di Malaysia.
Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tentu mempunyai tekad politik yang tinggi berada di zon perang bersama dengan Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh. Apa-apa boleh berlaku pada waktu itu, tetapi keberanian itu adalah sesuatu yang positif bagi Malaysia di mata dunia Islam kerana umat Islam di Malaysia adalah penyumbang paling utama meredakan penderitaan umat Palestian sekian lama dan komitmen Kerajaan Malaysia terhadap perjuangan Palestin tidak pernah berubah.
Pihak-pihak yang ingin melangsungkan strategi "Arab Spring" di Malaysia dan ingin melakukan gerak kerja "Dataran Tahrir" di negara ini patut belajar bagaimana pertemuan Najib dengan Morsi - bukan sekadar bertanya khabar tetapi mengambil keputusan bagaimana Mesir harus dibantu dengan kepakaran yang ada di Malaysia.
Najib ke Palestin pastinya untuk melindungi kepentingan umat Palestin dan tentunya Israel faham ini tidak seperti sesetengah tokoh yang membuat kenyataan untuk melindungi keselamatan Israel. Sebuah politeknik terasas di Palestin semasa kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke sana.
Kerjasama Petronas dan syarikat minyak di Mesir adalah usaha bijak ke arah memperkukuh ekonomi Mesir. Malah penulis tidak terkejut kalau suatu hari nanti Ismail Haniyeh dan Morsi akan datang ke Malaysia untuk berbincang lanjut mengenai strategi kerjasama dalam pendidikan, pembangunan sosial dan ekonomi dan bertemu dengan masyarakat Islam di Malaysia.
Inilah langkah bijaksana supaya pendekatan wahdah menjadi agenda penting Malaysia menyatukan tenaga umat supaya prioriti ke arah pembangunan diberi perhatian. Telah terlalu lama umat Islam mengalami perpecahan yang menyebabkan kemunduran dan penderitaan terjadi.
Usaha Najib mengatasi masalah Hamas-PLO dengan bijaksana amat dituntut. Kejayaan Najib membantu perdamaian dengan Bangsamoro di selatan Filipina adalah suatu langkah terpuji dan nasihat Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta untuk meleraikan isu di selatan Thailand memang kena pada waktunya.
Pendekatan Malaysia terhadap isu-isu negara dan dunia Islam adalah sesuatu yang praktis. Ia bukan retorik atau percubaan kosong mengisi aspirasi umat. Apabila Malaysia membantu, dibantu dengan sungguh-sungguh, apabila Malaysia berjanji, janji itu ditepati.
Malaysia mampu melakukannya kerana secara umumnya politik Malaysia adalah stabil, ekonominya berkembang, kemajuan terjadi dan masyarakat Malaysia merasakan perubahan dan pembangunan berlaku.
Penulis percaya masyarakat Malaysia yang waras dan rasional akan sentiasa dapat membuat pertimbangan yang betul supaya mereka adalah sebahagian besar yang akan membuat pilihan yang tepat untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.
Mereka merasakan bagaimana orang luar mengagumi Malaysia sebagai negara pencetus jalan damai dan perubahan yang bermanfaat untuk umat manusia.
Lihatlah kunjungan Najib ke Gaza dengan hati yang jernih. Suluhlah pertemuan Najib-Morsi sebagai suatu langkah bijaksana membantu umat Mesir yang sekian lama tertinggal sedangkan potensi untuk Mesir bangun dengan kekuatan ekonomi amat besar sekali.
Kalau Ismail Haniyeh boleh menerima Najib dan kalau Morsi boleh diziarahi Najib, mengapa sebahagian daripada kita di Malaysia enggan mengakui peranan Najib sebagai sesuatu yang positif. Soal berbeza anutan faham politik, berbezalah. Kalau sesuatu itu baik, katakan ia baik.
Kalau dengan negara luar Malaysia boleh bersikap berani dan praktis, takkan di Malaysia isu yang berbangkit tidak boleh dileraikan. Penulis percaya sekiranya pihak-pihak yang bertelagah di Malaysia dapat duduk semeja berbincang dengan hati terbuka, banyak yang boleh dilakukan untuk kebaikan Malaysia dan lebih banyak lagi boleh dilakukan terhadap masyarakat Islam antarabangsa.
Umat Islam kini amat memerlukan faktor pemersatu supaya yang sedang berlaku di Afghanistan, Iraq, Syria, Tunisia dan Libya didekati dengan bijaksana.
Amat sayang negara umat Islam yang memiliki sumber hasil bumi yang kaya dimanfaatkan oleh pihak lain tidak kembali kepada milik setempat.
Begitu juga sumber daya manusia melepasi 1.6 bilion sekiranya diberi ilmu diniyah dan ketamadunan bakal menghasilkan Order Baru Dunia yang menyumbang tidak saja ke arah kemajuan tetapi juga ke arah kualiti keinsanan yang cemerlang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan