24 Februari 2013

'Pengacau' antarabangsa muncul lagi

BARU-BARU ini, Jabatan Imigresen telah menahan seorang senator dari Australia, Nick Xenophon daripada memasuki negara ini di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.
Sebaik sahaja tiba, beliau telah ditahan di bilik pejabat Jabatan Imigresen di LCCT sebelum dihantar pulang pada hari yang sama.
Menurut laporan media yang memetik kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad, Xenophon dikategorikan sebagai seorang yang tidak diingini dan dilarang masuk ke negara ini kerana pernah mencetuskan isu yang cenderung ke arah menggugat keharmonian negara.
Sebenarnya, Xenophon bukanlah individu pertama yang berbuat demikian kerana banyak lagi orang asing yang menghentam kerajaan Malaysia dilarang masuk ke negara ini.
Kebanyakan mereka mengeluarkan kenyataan yang bersifat berat sebelah berikutan hanya mendapatkan maklumat daripada pihak-pihak propembangkang sahaja.
Berikut antara individu yang pernah diarahkan pulang sebaik sahaja tiba di Malaysia.
l NICK XENOPHON
BELIAU ialah seorang pengamal undang-undang di sebuah bandar di Adelaide, Australia sebelum menceburi bidang politik.
Kritikan terhadap Malaysia dibuat selepas beliau menyertai satu pasukan antarabangsa dianggotai tujuh ahli politik dan ahli akademik asing, melawat negara ini pada April 2012 bagi menilai keadilan proses pilihan raya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Dalam misi pencarian fakta itu, Xenophon telah menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Dataran Merdeka dan mengadu gas pemedih mata disembur ke arahnya. Beliau mendakwa cara polis mengendalikan perhimpunan itu membuktikan kerajaan Malaysia adalah kerajaan 'autoritarian'.
Persoalannya, adakah komennya benar-benar bebas berdasarkan situasi sebenar memandangkan misi pencarian fakta itu dijemput oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut terlibat dalam menetapkan terma rujukan misi itu.
Amalan ini adalah di luar kebiasaan kerana di negara-negara lain, badan pilihan raya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menjemput pemerhati atau misi pencarian fakta dan membantu menetapkan terma rujukan.
Penggubal undang-undang Australia itu juga sering mengkritik sistem perundangan Malaysia dan pernah merujuk sebuah jawatankuasa Parlimen negara ini sebagai 'mahkamah kanggaru'.
Selain mengkritik sistem politik Malaysia, Xenophon juga mengkritik industri minyak sawit negara apabila berulang kali mendakwa komoditi itu tidak baik untuk kesihatan dan menuduh rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri sawit telah memusnahkan hutan tropika yang merupakan habitat Orang Utan.
l JOHN MALOTT
BEKAS Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia dari 1995 sehingga 1998 pernah menulis artikel dalam Asia Wall Street Journal (AWSJ) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencermin diri terlebih dahulu sekiranya serius mahu memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai.
Tambah bekas duta itu, ekonomi Malaysia juga kurang menggalakkan terutama dalam tempoh 10 tahun lalu.
Komen Malott tidak seharusnya dianggap sebagai adil memandangkan latar belakangnya yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin pembangkang. Beliau juga pernah menyertai perhimpunan Bersih yang diadakan di luar negara.
Ini jelas terbukti apabila rencana tulisan Malott itu seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi kerana kandungannya sarat dengan analisis yang jelas hanya mahu menyalahkan Najib.
Antara pandangan beliau yang sudah pasti akan disanggah semua rakyat Malaysia adalah masalah perkauman di Malaysia bertambah runcing sejak Najib mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2009.
Cukup menggelikan hati apabila beliau turut menuduh tahap keselamatan negara lebih buruk berbanding ketika berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Rencana bertajuk Kesan Akibat Perkauman di Malaysia itu akan membuatkan pembaca yang kurang arif dengan Malaysia benar-benar percaya bahawa masih lagi berlaku rusuhan kaum dan perbalahan antara Melayu, Cina dan India yang mengakibatkan ratusan orang terbunuh.
l THIERRY ROMMEL
BEKAS duta dan Ketua Perwakilan Suruhanjaya Eropah ke Malaysia ini pernah mengeluarkan kenyataan yang menggesa kerajaan supaya menarik balik dasar memihak kepada majoriti orang Melayu yang dianggapnya satu tindakan diskriminasi dan merupakan langkah perlindungan yang menjejaskan syarikat asing.
Menurutnya, Malaysia menjadikan alasan untuk melindungi syarikat tempatan yang baru berkembang bagi menghalang kemasukan syarikat asing dalam bidang automobil, keluli dan pembekalan barangan serta perkhidmatan sektor awam.
Katanya, dasar yang mengutamakan bumiputera dan Melayu adalah punca utama halangan itu dibuat.
Tambahnya, dasar itu juga hanya menguntungkan segelintir orang Melayu yang mempunyai hubungan baik dengan ahli politik tertentu.
Sehubungan itu, beliau menggesa Malaysia mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah berusia 37 tahun dan mendakwa bahawa ia sebagai diskriminasi.
Pandangan beliau jelas sekali salah kerana DEB tidak lagi wujud kerana sudah lama dimansuhkan dan beberapa dasar baru membantu bumiputera juga tidak menghalang kaum Cina dan India menguasai senarai orang terkaya di negara ini.
Selain itu, beliau juga pernah membuat dakwaan kononnya Malaysia berada dalam keadaan darurat ketika polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan haram di Dataran Merdeka.
l MICHAEL BACKMAN
BELIAU ialah penulis kelahiran Australia yang menetap di London.
Dalam beberapa siri tulisannya dalam akhbar Melbourne Age, sebelum dan selepas pilihan raya umum 2008, beliau menyifatkan jika kerajaan Malaysia dibiarkan boros berbelanja, ia hanya akan menyebabkan slogan Malaysia Boleh! tidak lagi sesuai, sebaliknya perlu ditukar dengan slogan Malaysia Bodoh!
Ungkapan Malaysia Bodoh! yang digunakan beliau itu menjadi ikutan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan apabila mengelar Malaysia sebagai 'Bodohland'.
Beliau juga mengkritik langkah menghantar angkasawan pertama negara ke angkasa lepas yang dianggapnya membazir wang rakyat, tambahan pula uji kaji yang akan dilakukan hanya bertujuan melihat bagaimana lukisan batik dan teh tarik dapat disediakan di kawasan sifar graviti.
Backman turut mengkritik kerajaan sebagai membazir apabila meluluskan pembinaan istana baru untuk Yang di-Pertuan Agong bernilai RM400 juta, sedangkan Seri Paduka hanya sebagai simbol sahaja, selain Backman tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan kedua di Pulau Pinang bernilai RM3 bilion.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130223/re_06/Pengacau-antarabangsa-muncul-lagi#ixzz2LmPTmcHO
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa - 24/2/13

Tiada ulasan: