PENULIS bukan orang politik atau pemimpin politik, tetapi sebagai pemerhati fenomena budaya politik.
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, 2008 banyak memberi petunjuk bagi direnungi rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu dan umat Islam. Melayu berpecah, berbalah dan bercekah sampai tidak mungkin lagi menjadi 'carik-carik bulu ayam' bahkan lebih kepada 'menang jadi arang, kalah jadi abu'.
Politik dendam kian membarah dan orang Melayu kelihatan terlalu taksub tokoh, lena dalam pidato atau syarahan berapi dan berpegang kepada fatwa politik yang tidak benar.
Sungguhpun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ada mengeluarkan fatwa bahawa Amanat Haji Hadi itu tidak benar, para penyokong parti politik tertentu masih tidak mahu menerimanya. Semua orang tahu amanat itu telah memecahbelahkan umat kepada dua imam solat, sembelihan UMNO haram dimakan, atau orang UMNO itu kafir dan beberapa perkara lain lagi. Segalanya jadi berpecah dua. Musuh umat Melayu dan musuh Islam gembira dalam diam.
Senario politik PRU 12 (2008) hendaklah dijadikan panduan arah tuju bahtera negara Malaysia pada masa hadapan. Di mana patut berlabuh memilih pelabuhan dan ke mana perlu bahtera itu belayar.
Kaji kenapa sokongan padu rakyat kepada Barisan Nasional (BN) pada tahun 2004 ditarik balik pada PRU 2008 tadi. Salah satu sebab besar ialah kelemahan kepimpinan kerajaan pada masa itu. Tidak banyak perubahan dasar dilakukan sebagaimana rakyat harapkan. Rakyat marah kepada BN kerana tidak menyelesaikan masalah dalaman parti, isu-isu rasuah dan kesombongan politik. Maka berlakulah peralihan pengaruh simpati terhadap PKR. DAP pula berjaya membakar semangat cauvinisme dan perkauman, manakala Pas pula berjaya menanam 'fatwa-fatwa' yang tidak benar seperti isu kafir dan amanat tadi.
Kini suasana sudah berubah. Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah membuktikan kejayaan mengisi perubahan dalam banyak perkara. Gagasan 1Malaysia dan program transformasi serta tuntutan-tuntutan politik dan sosial rakyat dipenuhi, bahkan di luar jangka. Transformasi politik dan ekonomi sedang terjadi.
Untuk itu maka bagi penulis, orang Melayu dan umat Islam jangan sekali-kali meminggirkan upaya intelektualisme dan rasionalisme apabila membuat pertimbangan. Perbetulkan diri dan jangan lagi leka dengan sumpah seranah, hasutan, fitnah, acuman dan asyik percaya kepada pidato retorik hebat dan bukannya kepada pertimbangan akal budi dan agama.
PRU13 sudah menghampiri kita. Generasi tua dan muda Malaysia harus berfikiran luas dan mendalam. Kaji dan fikirkan sendiri pelabuhan mana patut kita pilih untuk melabuhkan bahtera negara ini. Apakah di pelabuhan yang penuh semak samun dan belantara kecelaruan sifat kepimpinan, tidak sepakat, asyik bercakaran, kepincangan pentadbiran di negeri-negeri yang PR perintah atau terus mempercayai janji-janji kosong? Isu kecil dan remeh pun gagal diselesaikan.
Rakyat jangan sekali-kali mengikut emosi atau pengaruh dendam orang yang mahu berkuasa. Apakah kita tidak mahu berlabuh di sebuah pelabuhan yang selama ini, lebih dari setengah abad terbukti, dibangunkan lengkap dengan segala kemudahan infrastruktur, kukuh terbina, diselenggarakan dengan baik dan diperbaiki jika ada sedikit sebanyak kerosakan!
Soalnya jangan mudah menukar pelabuhan kerana persoalan negara dan kenegaraan bukan soal cuba-cuba dengan niat kalau lima tahun ini tidak baik maka akan kita tukarkan kembali. Persoalan membentuk kerajaan tidak semudah kita bermain guli semasa kanak-kanak dahulu.
Selepas tahun 2008, rakyat Malaysia terlalu banyak mengalami ujian. Orang Melayu, Cina, India dan suku bangsa di Sabah-Sarawak sudah tahu menilai. Melayu dan bumiputera berpecah sehingga fenomena bertukar menjadikan mereka kumpulan minoriti. Apakah Melayu masih sanggup melihat perubahan kuasa kepada kerabat anggota yang tidak sealiran perjuangan? DAP menolak konsep negara Islam, mempermainkan kalimah Allah, merobek Pulau Pinang dan aneka tindakan yang tidak menggembirakan. Apakah Pas sebuah parti pimpinan Melayu dan umat Islam, masih mahu merelakan pimpinan kerajaan bertukar tangan?
Apa akan jadi sekiranya kerosakan besar terjadi atau keruntuhan berlaku akibat perbalahan kepimpinan yang semakin ketara, masing-masing mahu jadi kepala. Laksana seekor ular berkepala tiga, masing-masing menunggu mahu mencantuk mati satu yang lain. Formula palsu dengan laungan reformasi itu harus benar-benar difahami berbanding dengan transformasi. Bayangkan kalau PR menubuhkan Kerajaan!
Selama beberapa tahun lalu terpampang pedoman bahawa PR yang menggabungkan diri secara 'longgar' atau 'tidur sebantal mimpi lain-lain' itu ternyata tidak dapat membuktikan keupayaan mereka mengurus dan mentadbir kerajaan dengan sempurna.
Negeri-negeri di bawah pemerintahan PR yakni Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor atau dalam suatu tempoh yang singkat di Perak masih tidak menentu urus tadbirnya. Hal demikian terjadi kerana mereka tiada pengalaman. Sedangkan puluhan tahun pengalaman Pas di Kelantan pun, tidak banyak yang dapat dilakukan. PRU ke-13 tahun 2013 ini mengajak seluruh rakyat membuat pertimbangan semula. Sesungguhnya arah masa depan negara terletak di bahu bangsa induknya, yakni Melayu (dalam erti kata luas termasuk bumiputera).
Pada PRU 13 tahun 2013 ini rakyat Malaysia, orang Melayu dan umat Islam tidak seharusnya membuat pilihan untuk 'mencuba'. Pas mungkin boleh bertanding sendiri tanpa menyertai Pakatan Rakyat kerana begitu banyak perkara-perkara yang merugikan.
Budaya politik Melayu sesudah PRU ke-12 yang lalu sangat merugikan. Pas misalnya 'tidak kena sakan' apabila berada di gelanggang PR. Pas tidak memimpin PR sebaliknya menjadi 'kuda tunggangan', menerima dan bersetuju apa sahaja. Pas sudah tertipu dan terkincung. Orang Melayu dan umat Islam tidak patut mudah tertipu!.
Rakyat perlu berlabuh di pelabuhan asal tetapi tidak akan berlengah lama untuk meneruskan pelayaran di samudera saujana luas persada dunia yang terbuka sekarang dipenuhi aneka macam ujian itu. PR tidak akan mungkin berjaya melakukan sama seperti keajaiban kemajuan dan kejayaan BN selama puluhan tahun negara sejak kemerdekaan 1957 yang lalu. Fikir-fikirkanlah pelabuhan yang mana satu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan