PULAU PINANG 7 Feb. - Tindakan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga mempertikaikan syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap rakyat Malaysia di luar negara yang mahu mendaftar sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dikesali.
Ahli Majlis Peguam, Ranjit Singh Dhillon berkata, tidak keterlaluan syarat tersebut diadakan bagi menjamin tahap kesetiaan dan semangat patriotisme seseorang pengundi terhadap negara.
Menurutnya, syarat tersebut bertujuan supaya bakal pengundi diberikan hak untuk ke kotak undi bagi menentukan masa depan rakyat yang bermastautin di Malaysia.
"Jika tidak boleh korbankan 30 hari dalam lima tahun untuk berada di tanah air sendiri, adakah golongan ini benar-benar berjiwa Malaysia?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ranjit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyiasatan Tata Tertib Majlis Peguam mengulas dakwaan Ambiga bahawa syarat ditetapkan SPR bagi pengundi pos di luar negara sangat meragukan.
SPR menetapkan syarat terhadap rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi adalah seseorang itu mesti pernah pulang ke negara ini selama 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum Dewan Rakyat dibubarkan dan semestinya mendaftar sebagai pemilih.
Ranjit menambah, amat mengecewakan Ambiga selaku bekas Presiden Majlis Peguam mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Jelasnya, jika dalam tempoh lima tahun seseorang itu tidak mampu berada di tanah air selama 30 hari, untuk diberikan hak mengundi kepadanya boleh juga dipersoalkan.
"Hal demikian ini kerana mereka tidak mempunyai talian, hubungan atau rantaian dengan negara yang kita cintai ini selama tempoh lima tahun.
"Adakah Ambiga sebagai seorang rakyat dan anak jati Malaysia menggalakkan orang yang tidak pernah berada di tanah air sendiri dalam tempoh lima tahun diberikan hak mengundi?" soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan