PASIR SALAK 16 Mac - Sebanyak 230,000 ahli pergerakan Wanita UMNO sudah bersiap sedia untuk berjuang menentang pakatan pembangkang secara habis-habisan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, persiapan jentera parti itu turut melibatkan langkah mengatasi kemungkinan berlaku huru-hara serta kekacauan yang dikatakan telah disusun atur pembangkang di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
''Saya sudah minta semua jawatankuasa Wanita UMNO untuk siap siaga, jika berlaku huru-hara yang dicetuskan oleh pembangkang, maka kita sudah siap sedia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sepetang bersama Ketua Wanita UMNO di Dewan Felcra Changkat Lada di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin.
Dalam pada itu, Shahrizat turut menyifatkan kesiapsiagaan BN di Pasir Salak sudah berada di tahap tertinggi terutamanya Skuad Sayang Wanita UMNO yang kerap turun padang menjaga kebajikan pengundi di sini.
Sehubungan itu katanya, beliau yakin BN mampu mempertahankan kawasan Parlimen Pasir Salak yang sememangnya dikenali sebagai kubu kuat kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan