3 Mac 2013

Diumum selepas bubar Parlimen

Muhyiddin Yassin dan Mustapa Mohamed serta Awang Adek Hussin bersama orang ramai melaungkan gelombang merah dalam Himpunan Rakyat 1Malaysia di Tunjong, Pasir Mas dekat sini, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri 
*****
KOTA BHARU 1 Mac - Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan manifestonya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas Dewan Rakyat dibubarkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ini parti masih di peringkat akhir untuk menyiapkan manifesto tersebut dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN sedang meneliti beberapa perkara secara terperinci.
"Selepas itu kita akan mengadakan satu perbincangan akhir dengan semua ketua parti komponen untuk mendapatkan input tambahan dan membentangkannya kepada rakyat selepas tarikh Parlimen dibubarkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini hari ini.
Kira-kira 30,000 rakyat pelbagai kaum menghadiri majlis berkenaan.
Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.
Menurut Muhyiddin, rakyat masih berpeluang untuk meneliti dan menilai kandungan manifesto tersebut dan membandingkannya dengan manifesto yang ditawarkan oleh pakatan pembangkang.
"Rakyat boleh membuat perbandingan di antara kedua-dua parti ini, BN dan pembangkang yang mana satu manifestonya lebih menarik, praktikal, yang terlaksana dan mampu dilaksanakan yang boleh memberikan kebaikan kepada rakyat jelata, tunggulah.
"Di samping manifesto nasional, manifesto di peringkat negeri pun sedang dimuktamadkan oleh semua ketua BN negeri untuk mereka menambah perkara tertentu. Di Kelantan, Mustapa sedang menyiapkannya selain apa yang kita cadang di peringkat nasional, yang khusus menjurus kepada kepentingan rakyat Kelantan pun akan disediakan," katanya.
Ditanya sama ada keputusan lewat mengumumkan manifesto itu memberi kelebihan kepada BN, Muhyiddin berkata, terserah kepada pembangkang untuk mengumumkan terlebih dahulu manifesto mereka.
"Bagi kita, mesti ada masa yang sesuai kerana Parlimen belum dibubarkan, jadi sebenarnya pilihan raya itu belum hendak diadakan lagi, mereka nak bentang lebih awal itu hak mereka. Tetapi bagi kita, kita membuat penilaian dan akan umumkan selepas Parlimen dibubarkan," katanya.
Muhyiddin berkata, rakyat seharusnya menilai manifesto yang dibentangkan oleh pembangkang itu yang disifatkan oleh pakar-pakar ekonomi sebagai tidak realistik dan membolehkan negara jatuh muflis.
Menjawab satu soalan, Muhyiddin berkata, Islamik atau tidak manifesto dibentangkan oleh pembangkang, rakyat boleh membuat penilaian, sebagai contoh pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan oleh Pas yang terus senyap.

Tiada ulasan: