KOTA BHARU 3 Mac - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai hilang pedoman selepas terhimpit dengan beberapa isu, termasuk kalimah Allah.
Ahli Jawatankuasa Ikatan Cendekiawan Ilmuan Kelantan (ICIK), Dr. Mohd. Zawawi Awang berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz sejak kebelakangan ini tidak mencerminkan beliau sebagai seorang 'tok guru' atau ulama.
"Selain mencemarkan imej Pas sebagai parti Islam, kenyataan buruk Nik Abdul Aziz itu bertentangan dengan hadis nabi yang melarang seseorang muslim menggelar muslim lain dengan perkataan kafir dan fasik.
"Malah, tindakannya yang mempertahankan kerjasama dengan DAP itupun jelas haram di sisi Islam sebab DAP itu tergolong dalam kategori kafir harbi, kafir yang menentang Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang dilaporkan menganggap UMNO sebagai 'menate' (binatang) sebaliknya menganggap DAP sebagai kawan.
Nik Abdul Aziz mendakwa, tidak salah untuk Pas berkawan dengan DAP kerana mereka mahu memberi nasihat, tetapi dalam masa sama, beliau tidak peduli sama ada parti itu menerima pandangan Pas atau tidak.
Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan itu turut dilapor menyamakan penerima bantuan Kerajaan Pusat seperti 'haiwan'.
Sementara itu, aktivis Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati), Mohd. Syamsul Yusoff al-Hafiz berkata, sebagai seorang 'tok guru' Nik Abdul Aziz sepatutnya menjaga tutur kata dan perbuatannya selaras dengan tuntutan sunah.
Katanya, dakwaan Nik Abdul Aziz kononnya Pas berkawan dengan DAP bertujuan membaiki parti itu dengan memberi penerangan mengenai Islam termasuk syurga dan neraka adalah melucukan.
"Apa kesan positif yang Pas boleh tunjukkan kepada umum hasil berkawan dengan DAP selama ini. Nampaknya DAP tetap juga bertegas menentang pelaksanaan negara Islam dan hukum hudud.
"Begitu juga dalam isu kalimah Allah, DAP semakin berani pertikai sedangkan kalimah itu telah menjadi hak eksklusif bagi orang Islam. Adakah ini kesan dakwah Pas terhadap DAP?" katanya.
Sementara itu, seorang pendakwah bebas, Tuan Hasrizol Tuan Hassan berkata, pengaruh politik dan gila kuasa menyebabkan Nik Abdul Aziz semakin angkuh dan celupar dalam tutur katanya.
"Saya kenal dia (Nik Abdul Aziz) sebelum terlibat dengan politik seorang yang zuhud. Tetapi sikap itu berubah ego selepas lama berkuasa sehingga sanggup bekerjasama dengan DAP yang terang-terangan menolak Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan