24 Mac 2013

Ketepi soal remeh, spekulasi

KUALA LIPIS 19 Mac - Semua ahli UMNO Bahagian Lipis diminta mengetepikan perkara remeh dan tidak terlalu sibuk membuat spekulasi mengenai soal calon yang bakal bertanding di kawasan ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, mereka perlu terus memperkukuh dan memperkemaskan jentera parti serta mengelak sebarang spekulasi, memberi tumpuan terhadap kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 itu.
Tegasnya, mereka perlu memperhebatkan jentera parti dengan terus mendekati rakyat memandangkan pembangkang sudah menggerakkan ahlinya di lokasi tertentu di kawasan ini.
"Saya yakin jentera UMNO dan BN yang turut dibantu sayap parti mampu proaktif dan jangan mengambil sikap 'tidak apa' atau 'tunggu dan lihat' kerana pembangkang menggerakkan langkah sama untuk memenangi hati rakyat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Lipis, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Suhaimi Ibrahim; Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mustapa Long; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Datuk Abu Jimi Samat dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman.
Dalam majlis itu, Abdul Rahman menyampaikan bendera dan baju BN kepada sebanyak 2,500 ahli sebelum Abu Jimi mengetuai 1,000 ahli Pemuda UMNO mengadakan konvoi bermotosikal yang membawa bendera BN mengelilingi bandar Kuala Lipis.
Abdul Rahman berkata, beliau kagum dengan semangat semua ahli UMNO turun padang memeriahkan majlis tersebut yang menunjukkan mereka akan terus berjuang bagi memastikan kemenangan calon BN dalam PRU-13 nanti.
Dalam perkembangan berkaitan, Abu Jimi berkata, konvoi bermotosikal yang diadakan membuktikan kesetiaan golongan belia khususnya golongan muda di daerah ini terhadap perjuangan UMNO dan BN.
"Konvoi itu akan diteruskan di semua cawangan UMNO di kampung, tanah rancangan dan penempatan Orang Asli untuk beramah mesra dengan rakyat menerusi Program Santai Orang Muda," ujarnya.

Tiada ulasan: