24 Mac 2013

Menilai waktu terbaik mengundur diri

PILIHAN calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) merupakan antara faktor penentu kemenangan atau kekalahan kepada sesebuah parti politik.
Calon yang ditawarkan kepada pengundi perlu memenuhi kehendak majoriti rakyat tetapi pada masa sama perlu juga mengambil kira kehendak ahli parti yang mahu bertanding bagi mengelakkan berlakunya khianat dan sabotaj.
Di dalam parti politik, individu boleh dinilai ahli-ahli melalui komitmen dan pelaksanaan tugas serta tanggungjawab masing-masing terhadap parti seterusnya mengangkat mereka ke kedudukan atau jawatan tertentu.
Bagi kedudukan wakil rakyat pula, calon-calon dinilai oleh rakyat sama ada kumpulan penyokong atau penentang parti tersebut mahupun mereka yang di atas pagar, dan mandat daripada majoriti anggota masyarakat diperlukan untuk dipilih mahupun kekal sebagai wakil rakyat.
Namun, rakyat juga mempunyai kecenderungan melihat peralihan kepimpinan politik khususnya di kalangan wakil rakyat yang hasil kerjanya kurang memuaskan, tercalit isu-isu mahupun berusia dan kurang sihat, bukan sahaja dalam kerajaan malahan di kalangan pembangkang sekalipun.
Maka, menjelang PRU13 mula timbul pengumuman beberapa wakil rakyat bersedia berundur bagi memberi peluang kepada muka baharu yang diharap dapat memberi khidmat lebih baik kelak. Bukannya 'merajuk' atas sindiran usia, kumpulan ini rata-rata telah lama memberi khidmat kepada rakyat dan ada antara mereka menjalankan tugas terbaik berbanding wakil rakyat terdahulu.
Dalam mengikut trend memberi peluang kepada orang muda yang mempunyai cara, idea dan pemikiran berbeza demi kemakmuran rakyat dan negara, sejauh manakah kesanggupan pemimpin-pemimpin politik Malaysia melepaskan peluang menjadi calon PRU13?
Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berpendapat, rakyat rata-rata menunggu transformasi meletakkan calon muda dan muka-muka baharu untuk bertanding.
"Tinjauan di kebanyakan kawasan menunjukkan lebih 70 peratus pengundi memberi tumpuan terhadap calon muka baharu. Ini menunjukkan harapan rakyat, oleh itu semua pemimpin politik perlu fahami penantian rakyat ini. Namun, mereka yang sudah lama berkhidmat tetapi masih ada sokongan, tiada isu salah laku dan tidak terbabit isu-isu besar juga boleh dipertimbangkan untuk bertanding," katanya.
Walaupun mengakui komitmen ahli untuk PRU13 jelas kepada parti, beliau menyatakan kebimbangan persaingan untuk menjadi calon akan berterusan selagi nama mereka yang terpilih untuk bertanding belum diumumkan.
Tegasnya, semua pihak perlu memberi laluan dan ruang kepada muka-muka baharu kerana 'politik feudal' yang meletakkan kumpulan G7 (ketua, timbalan, setiausaha, ahli jawatankuasa Bahagian serta ketua Wanita, Pemuda dan Puteri) sebagai calon sejak 1957 perlu disingkirkan.
"Calon-calon lama perlu sedar dan akur dengan kehendak masyarakat yang mahu tengok perubahan. Selain calon-calon yang ditolak masyarakat, mereka yang mempunyai masalah peribadi, rasuah, kewangan dan isu-isu perbualan masyarakat juga wajar berundur," katanya.
Beliau menekankan objektif PRU13 adalah untuk kemenangan parti dan bagi mencapai sasaran itu, perlu memenuhi kehendak rakyat dalam memilih barisan calon-calon yang mewakili parti.
Mohamad Faisol berharap mereka yang merasakan sudah sampai masa untuk berundur agar mengundur diri secara berhemah sementara kepimpinan parti pula perlu menolak calon bermasalah khususnya melibatkan kes yang menjejaskan kredibiliti calon dan parti.
"Untuk memberi laluan kepada muka baharu dan pada masa sama mengelakkan sabotaj khususnya dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), saya sarankan satu talian langsung antara Perdana Menteri dan kumpulan G7 yang tidak terpilih.
"Sambil menjaga hati mereka, Perdana Menteri dapat menerangkan perlunya menjamin kemenangan parti dan berbincang cara untuk mereka terus menyumbang kepada masyarakat melalui kaedah dan platform lain seperti pertubuhan-pertubuhan amal," jelasnya.
Beliau turut mencadangkan kepimpinan tertinggi parti politik mengumumkan lebih awal senarai calon-calon PRU13 agar muka-muka baharu diberi lebih masa mendekati pengundi.
Bagaimanapun, beliau menolak cadangan menetapkan tempoh dua penggal untuk wakil rakyat memandangkan budaya politik Asia yang berbeza dengan Barat.
"Ramai pemimpin politik Malaysia yang sudah lebih dua penggal. Model itu tidak sesuai dan budaya politik Malaysia belum sedia melaksanakannya," tegasnya.
Pemerhati politik, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan turut menyokong pandangan tersebut kerana melihat penetapan tempoh penggal seseorang calon memegang kerusi tidak sesuai.
"Cadangan itu memang baik, bagus untuk beri peluang kepada tenaga baharu tetapi ia tidak akan berlaku dan tidak sesuai untuk Malaysia. Jika diamalkan, majoriti pemimpin sekarang perlu meletakkan jawatan kerana rata-ratanya masih di kalangan kumpulan 'order lama'," katanya.
Tegasnya, apa yang perlu difikirkan adalah kriteria untuk menjadi pemimpin - integriti, berilmu dan mampu menghadapi cabaran, bukan sahaja di dalam parti dan dalam negara malahan di peringkat serantau serta antarabangsa.
Semua itu, katanya, memerlukan tahap kekuatan akal fikiran yang amat dahsyat, bukan sekadar menyelesaikan masalah-masalah kecil tetapi memerlukan ilmu pengetahuan dan integriti yang tinggi.
Bagaimanapun, beliau juga bersetuju calon-calon yang sudah dua penggal atau lebih lama, sesuai memikirkan kebarangkalian berundur sebelum nama-nama calon PRU13 diumumkan.
"Ini kumpulan 'order lama' atau veteran yang sepatutnya sedar ini bukan gelanggang mereka lagi. Ini fitrah peralihan kepada muka baharu dalam sistem politik baharu berasaskan moraliti dan bukannya ikut siapa pegang kuasa di peringkat Bahagian.
"Seperti yang rakyat mahukan, politik baharu Malaysia perlukan 'pemain-pemain' baharu yang ada kewibawaan tinggi, berilmu dan berintegriti," katanya.
Namun, beliau tidak menafikan kumpulan 'order lama' yang masih cergas, berwibawa, dilihat bersih dan masih disokong akar umbi juga wajar dipertimbangkan pimpinan parti.
Zainal Abidin juga menegaskan rakyat mahu calon yang dipilih turut disaring oleh agensi pemantau seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia , Cawangan Khas serta unit jenayah polis bagi memastikan tiada kaitan dengan kegiatan jenayah.
"Dengan Jabatan Agama juga kena periksa, tidak mahu yang ada isu-isu agama. Sekarang zaman digital, pengundi sudah terdidik, mereka tahu apa yang berlaku. Dahulu rekod boleh sembunyi, sekarang tidak. Oleh itu, perlu tahu bila masa untuk mereka berhenti. Mereka boleh berpolitik selamanya tetapi mereka tidak boleh jadi pemimpin politik sampai mati," jelasnya.
Beliau menasihatkan ahli-ahli parti politik menerima hakikat jika tidak dipilih sebagai calon walaupun setelah lama menunggu kerana dunia politik tiada belas kasihan dan zaman juga sudah berubah kepada calon-calon muda.
"Lagipun bukannya senang menjadi wakil rakyat di Malaysia. Di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen kerja 24 jam, semuanya mereka kena tahu, lebih-lebih lagi untuk wakil rakyat di kawasan luar bandar," jelasnya.

Tiada ulasan: