LUMUT 25 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mahu semua pemimpin dan jentera Barisan Nasional (BN) mengambil pelajaran daripada episod hitam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) apabila parti itu tewas di Perak akibat perbuatan sabotaj sesama sendiri.
Beliau yang juga Pengerusi BN negeri menegaskan, ketika parti bakal berhadapan ujian getir Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi, seluruh jentera parti perlu meletakkan kesetiaan kepada perjuangan parti melebihi kepentingan individu.
"Kalau ada wujud sedikit sebanyak rasa tidak puas hati, kita ingatlah peristiwa 2008 dahulu. Kalau kita belajar daripadanya, kita tidak mungkin sanggup mengkhianati perjuangan parti semata-mata kerana individu.
"Jika ada yang tidak dicalonkan, berilah sepenuh sokongan kepada BN atas nama kesetiaan terhadap perjuangan parti," katanya kepada pemberita selepas program RTM Merentas Kampung Bersama Telekom Malaysia di Arena Square, Pangkor di sini baru-baru ini.
Zambry memberitahu, senarai calon BN Perak sudah di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bila-bila masa.
"Calon-calon sudah di peringkat akhir dan sedang dibuat saringan keselamatan, saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga saringan kedudukan mereka muflis atau sebaliknya," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin yang tidak dicalonkan supaya menerima calon pilihan parti dengan hati terbuka serta memberi sokongan bagi memastikan peristiwa 2008 tidak berulang.
Ditanya sejauh mana 'perubahan' calon yang dilakukan di Perak, Zambry berkata, beliau tidak dapat menjelaskannya secara terperinci, tetapi menegaskan percaturan tersebut memberi perubahan yang signifikan di kawasan berkenaan.
Mengulas cadangan Pemuda Pas Perak supaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Lumut, Zambry berkata, perkembangan itu memperlihatkan betapa pembangkang di negeri ini tidak mempunyai keyakinan untuk menang.
"Mereka tahu mereka tidak boleh menang kerana BN ada kelebihan, jadi mereka perlukan 'penyelamat' dan dalam hal ini, mungkin mereka anggap itu membantu.
"Saya ini manusia kecil sahaja, kagum juga kerana mereka hendak bawa Ketua Pembangkang melawan kita di Perak," katanya.
Ditanya sama ada BN berasa terancam dengan kehadiran Anwar di Lumut, Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor sambil tersenyum berkata: "Mereka tahu kemampuan kita".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan