Pertunjukan kapal terbang di hari
pertama sempena pembukaan rasmi LIMA'13 di Lapangan Terbang Antarabangsa
Mahsuri, Langkawi, kelmarin. - utusan/Noor Asrekuzairey Salim
*****
Malah ketika merasmikan LIMA 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa ancaman yang dibawa oleh pengikut pengganas Kiram adalah paling mencabar setelah berakhirnya pemberontakan komunis pada tahun 1989.
Paling menarik adalah apabila beliau menyatakan ini adalah kali pertama sejak 1989 anggota keselamatan terpaksa dikerah untuk mempertahankan kedaulatan tanah air. Mungkin pada hari ini rakyat Malaysia telah dapat memahami dan menghayati bagaimana pentingnya aset pertahanan ketika negara paling memerlukannya.
Lazimnya Singapura kerap dicemuh dan dipersenda kerana memperuntukkan perbelanjaan pertahanan yang agak melampau sedangkan ancaman yang dihadapi adalah tidak seberapa dan tidak keterlaluan jika diandaikan sengaja diperbesarkan.
Peruntukan tahunan pertahanan Singapura dalam lingkungan 5 hingga 6 peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) adalah antara yang ke-10 tertinggi di dunia. Tetapi jika dikaitkan dengan per kapita pula, maka peruntukan tersebut adalah kedua tertinggi di dunia iaitu hanya di belakang Israel.
Begitu juga jika dikaitkan dengan jumlah jet pejuang F-15 dengan nisbah keluasan pulau itu, Singapura dalam kes ini berada jauh di hadapan di ikuti oleh Israel dan negara-negara lain yang mempunyai F-15. Hakikatnya adalah segala apa jua yang berkaitan dengan pertahanan Singapura, statistik dan fakta menggambarkan sesuatu yang ekstrem.
Dalam hal berkaitan Perdana Menteri turut menyentuh senario kecenderungan negara ASEAN meningkatkan pemilikan aset ketenteraan masing-masing dengan menyatakan perbelanjaan pertahanan telah meningkat kepada 13.5 peratus pada tahun 2012 dan buat pertama kalinya perbelanjaan ketenteraan Asia dijangka melampaui Eropah.
Program pemodenan ketenteraan akan terus menjadi peneraju kepada perbelanjaan pertahanan di rantau ASEAN. Pembelian kapal, pesawat dan kenderaan tempur adalah antara peralatan yang menjadi fokus untuk pembelian bagi negara rantau ini dan ia akan terus meningkat hingga 2020? tambah Najib.
Bukan sahaja Singapura yang memberi keutamaan kepada perbelanjaan pertahanan, tetapi negara ASEAN lain seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia juga menjerumus kepada senario yang serupa iaitu meningkatkan perbelanjaan dan perolehan pertahanan masing-masing.
Malaysia tidak boleh ketinggalan terlalu jauh berbanding dengan negara ASEAN lain dan sebab itu permodenan angkatan tentera perlu dilakukan secara berterusan dan mesti selari dengan kemampuan kewangan negara. Rakyat Malaysia perlu memahami hakikat ini.
Satu petanda yang baik kerana tidak pernah pula kedengaran keluhan rakyat Malaysia terhadap jati diri yang lemah atau longgar terhadap anggota keselamatan yang sedang bertugas di Lahad Datu. Perasaan tersebut sedemikian rupa mempamerkan perasaan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan anggota keselamatan.
Tetapi bagaimana pula persepsi dan keyakinan rakyat terhadap aset peralatan pertahanan negara? Adakah mereka sudah cukup berpuas hati dengan apa yang dimiliki oleh Malaysia? Perlu diungkit kembali pada Jun 2011, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan sebanyak 2,508 pergerakan pesawat tentera udara Singapura (RSAF) dikesan menceroboh ruang udara negara sejak 2008.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pencerobohan jet pejuang RSAF ini berlaku kerana ruang udara republik tersebut yang begitu sempit yang menyebabkan jet berkenaan terpaksa memasuki ruang udara Malaysia tetapi isunya adalah Kuala Lumpur tidak pernah memberi kebenaran untuk membolehkan jet RSAF memasuki ruang udara negara.
Tambahan pula hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura dianggap paling menarik dan istimewa kerana mempunyai ciri-ciri unik yang penuh dengan cabaran dan pantang larangnya yang tersendiri.
Sebab itu isu pencerobohan ruang udara oleh jet RSAF walaupun dianggap remeh oleh Singapura tetapi sebaliknya pula pada tanggapan rakyat Malaysia. Kali terakhir berita mengenai pencerobohan ruang udara berlaku pada Mac 2006 apabila pesawat tanpa pemandu (UAV) yang dipercayai milik RSAF didapati menceroboh ruang udara negara di Gelang Patah, Johor.
Isu pencerobohan pengganas di Lahad Datu adalah peristiwa terbaharu yang mengesahkan betapa pentingnya aset pertahanan Malaysia berada pada tahap terbaik supaya negara sentiasa berada dalam keadaan yang siap sedia.
Tidak kira sama ada Malaysia berhadapan dengan ancaman secara tersurat dan langsung seperti yang berlaku di perairan timur Sabah ketika ini atau berdepan dengan cabaran tersirat melalui pencerobohan ruang udara, apa yang penting adalah rakyat dan negara perlu membuat keputusan yang mencabar.
Betapa pentingya peranan yang telah dimainkan oleh kereta perisai, helikopter dan kapal perang ketika berhadapan dengan pengganas Kiram dalam Ops Daulat adalah begitu terserlah kerana ia telah hampir berjaya menghapuskan ancaman dengan kemudaratan minimum menimpa anggota keselamatan negara. Begitu juga dengan pencerobohan ruang udara Malaysia dapat dikesan dengan pantas kerana wujudnya sistem pengawasan udara yang mantap.
Kesemua ini mengesahkan betapa pentingnya aset pertahanan negara tidak kira dari sekecil-kecil peralatan seperti jaket kalis peluru atau kereta perisai sehinggalah kepada aset paling canggih seperti jet pejuang atau kapal selam, kesemuanya ini mempunyai peranan masing-masing mengikut keadaan dan masanya.
Apa yang penting adalah rakyat perlu memahami dan menghayati bahawa perbelanjaan pertahanan bukan untuk pertunjukkan semata-mata tetapi untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan