24 Mac 2013

PM, isteri hadir minum petang bersama peserta 'Spring Forum'

PUTRAJAYA 21 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menghadiri majlis minum petang bersama peserta 'Spring Forum' Majlis Perniagaan Asia 2013 di Seri Perdana, di sini hari ini.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengadakan dialog terbuka bersama para peserta, dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Ayala Corp, Jaime Augusto Zobel de Ayala, bertindak sebagai perantara.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala, serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.
Jemputan lain yang hadir termasuk pengerusi Majlis Perniagaan Asia (ABC), Marjorie Yang; Anggota Lembaga Pengarah ABC, Tan Sri Azman Mokthar (Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd); anggota lembaga ABC, Datuk Seri Nazir Razak (Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group); dan Tan Sri Dr. Khoo Kay Peng (Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MUI Group).
Para peserta itu berada di Malaysia sempena 'Spring Forum' ABC 2013 di Langkawi yang bermula esok dan berakhir pada Sabtu.
ABC ialah sebuah organisasi bebas eksekutif tertinggi, lazimnya dari syarikat terulung di Asia atau syarikat multinasional dengan operasi ketara di Asia, yang berkongsi kepentingan dalam dasar yang diperlukan bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi dan daya saing di rantau ini.
Majlis itu mengadakan penyelidikan mengenai isu yang penting untuk masa depan Asia dan jika sesuai, mengambil tindakan yang diperlukan. Majlis itu dibiayai anggotanya dan tiada hubungan dengan kerajaan.
Majlis itu ditubuhkan pada 2002 dan beribu pejabat di Hong Kong. - BERNAMA

Tiada ulasan: