BACHOK 24 Mac - Rakyat Kelantan kesal dengan sikap pemimpin Pas negeri yang disifatkan terlalu berpolitik sehingga sanggup menggadaikan kesucian agama Islam termasuk dalam isu akidah membabitkan kalimah Allah.
Rata-rata rakyat Kelantan yang ditemui pada Program Deklarasi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Tolak Pas di sini semalam, menyatakan kekesalan mereka dengan sikap pemimpin Pas yang semakin menyimpang dalam perjuangan sejak menjalin kerjasama atau tahaluf siyani dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Salah seorang daripada mereka, Mohd. Zain Mamat, 45, berkata, perkara yang paling menyedihkan ialah mengenai isu kalimah Allah di mana Pas gagal mempertahankan kalimah tersebut secara serius sedangkan mereka sedia maklum yang kalimah suci itu adalah hak mutlak bagi orang Islam.
Perkara-perkara seperti ini akan menjadi barah sekiranya tiada ulama, guru-guru agama yang tampil memberi penjelasan mengenai kedudukan sebenar, katanya ketika ditemui selepas program itu di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang yang dihadiri kira-kira 200 orang, di sini semalam.
Adnan Zahari, 44, pula berkata, soal akidah tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkait rapat dengan hukum agama dan apa yang berlaku dalam politik pembangkang sekarang ini, Pas jelas tidak mampu mendominasi pakatan pembangkang dalam segenap isu.
Memang tepat hujah yang dibentangkan oleh ulama dan para cendekiawan melalui program hari ini, beserta dalil dan nas yang dikemukakan rakyat memang wajib tolak Pas atau pembangkang," katanya.
Bagi Yaacob Yusoff, 72, pula, rakyat Kelantan sekarang semakin faham ketelusan sebenar perjuangan antara Pas dan UMNO yang dilihat lebih komited dalam memperjuangkan Islam berbanding Pas mutakhir ini.
Dia juga tidak menolak kepincangan perjuangan Pas dalam menegakkan negara Islam seperti dicita-citakan, kian ketara sejak bersekutu dengan PKR dan DAP.
Rozani Sael, 42, pula berkata, selain isu kalimah Allah, rakyat sebelum ini dikelirukan dengan isu-isu seperti Amanat Haji Hadi sehingga taksub sampai sanggup kafir-mengkafirkan sesama sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan