20 Mac 2013

Rakyat tolak budaya LGBT - Noh

SHAH ALAM 17 Mac - Barisan Nasional (BN) Selangor yakin rakyat negara ini sama ada golongan lelaki dan wanita menolak sekeras-kerasnya amalan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang kononnya diperjuangkan sebagai salah satu hak asasi manusia.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, budaya sedemikian ditegah agama dan usaha menegakkan hak LGBT di negara ini adalah perbuatan sia-sia.
"Rakyat Malaysia daripada semua golongan mempunyai hak masing-masing tanpa sebarang diskriminasi atau sekatan, begitu juga dalam soal jantina yang mana golongan wanita atau lelaki turut menikmati hak asasi yang sama.
"Namun, dalam soal LGBT, saya yakin amalan tersebut tidak diterima sama ada oleh golongan wanita atau lelaki. Rakyat tidak akan bersama menyokong budaya ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program 1Million Women Purple Walk dan Pelancaran 1Malaysia Komuniti Perwani (1MKP) peringkat negeri, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M. Zin dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Kamarudin Ahmad.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, program tersebut diadakan serentak di seluruh negeri ini melibatkan 22 kawasan Parlimen dan berjaya menarik penyertaan lebih 100,000 golongan wanita.
Dalam masa sama, Noh menegaskan, pelancaran 1MKP yang membabitkan gabungan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita adalah gerakan baharu yang dilihat mampu memperkasakan lagi golongan itu di negara ini termasuk di Selangor.
"1MKP adalah satu lagi langkah positif dan proaktif dalam usaha mengangkat peranan wanita dalam pembangunan negara menerusi khidmat kepada rakyat.
"Inisiatif ini juga mampu menjadi 'mata dan telinga' kepada kerajaan khususnya dalam membantu rakyat dari segi kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya," ujarnya.

Tiada ulasan: