31 Mac 2013

Ramalan Penasihat DAP hanya gimik politik - Ibrahim

KOTA BHARU 28 Mac - Dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa pakatan pembangkang mampu menang di tujuh buah negeri disifatkan sebagai perang saraf dan gimik politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, Kit Siang harus sedar kemenangan besar pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu disebabkan keadaan Barisan Nasional (BN) ketika itu yang terlalu lemah.
Walau bagaimanapun, tambah beliau, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pemerintahan negara, perubahan ketara berjaya dilakukan beliau sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap BN.
"Sekiranya dalam keadaan BN yang teruk sekali pun pakatan masih gagal menawan Putrajaya, apatah lagi dalam keadaan sekarang dengan pelbagai transformasi yang dilakukan Najib untuk rakyat dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas keyakinan Kit Siang baru-baru ini, pembangkang akan menawan dua buah negeri, Perlis dan Negeri Sembilan di samping mengekalkan lima negeri yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum 2008.
Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, beliau menjangkakan BN dapat merampas kembali Kedah dan Kelantan berdasarkan keadaan semasa.
"Sudah banyak perubahan yang berlaku, saya yakin BN akan dapat menawan Kedah dan Kelantan manakala Perak juga akan kekal kecuali Pulau Pinang dan Selangor agak sukar, tetapi BN masih mempunyai peluang untuk menawan Selangor.
"Pembangkang tidak akan dapat Perlis dan Negeri Sembilan, malah keadaan mereka semakin sukar," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut yakin BN akan mencatatkan kemenangan lebih baik dan mencapai dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: