PUTRAJAYA 24 Mac - Seramai 1,000 penerima lesen teksi individu layak menerima geran bernilai RM5,000 setiap seorang bagi pembelian Proton Exora.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pemandu teksi yang menerima lesen individu itu wajib membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) itu untuk digunakan sebagai teksi.
Katanya, keputusan tersebut adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan pemandu-pemandu teksi dapat menyediakan kenderaan yang sesuai bagi kemudahan dan keselesaan penumpang, termasuk pelancong asing.
Menurutnya, langkah itu juga akan membolehkan pemandu teksi yang terbabit menurun dan mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan juga KLIA2.
"Selain sikap kita sebagai pemandu, jenis kenderaan jangan terlalu kecil sebab ada sesetengah pelancong datang dengan beg banyak dan bukan kecil orangnya (saiz), untuk itu saya tetapkan syarat bahawa semua lesen teksi terbabit mesti guna Proton Exora.
"Serentak itu, saya ambil keputusan baru tadi iaitu bagi setiap pemandu teksi terbabit akan diberi geran bernilai RM5,000 ringgit dan ini bererti harga kereta itu daripada RM64,0000 kepada RM59,000 tetapi ini bukan pinjaman," katanya ketika berucap di Majlis Janji Ditepati - Pemberian Lesen Teksi Individu di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.
Pada majlis itu, Najib menyampaikan 200 lesen teksi individu manakala selebihnya akan diuruskan oleh SPAD dalam tempoh terdekat.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, pemberian lesen teksi itu bukan hanya sebagai satu titik permulaan kepada sistem model baru perkhidmatan teksi yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, malah dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan pemandu teksi di negara ini.
Beliau menambah, ia sejajar dengan matlamat kerajaan yang mahu memastikan orang ramai dan pelancong akan mendapat perkhidmatan teksi bertaraf dunia yang boleh dibanggakan.
Menyentuh majlis tersebut, Perdana Menteri menyifatkannya sebagai sebuah lagi janji yang ditepati oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).
Ini kerana beliau berkata, majlis di sini hari ini adalah lanjutan daripada satu majlis yang diadakan pada 24 Jun tahun lalu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
"Saya masih ingat majlis tersebut. Saya masih ingat apa saya sebut dalam majlis tersebut. Saya masih ingat lagi janji saya kepada pemandu-pemandu teksi.
"Saya telah janjikan pemandu teksi bahawa lesen akan datang diberikan kepada individu-individu, walau kita tidak nafikan syarikat-syarikat memberi pekerjaan kepada pemandu tetapi saya kata bahawa ada juga yang eksploitasi pemandu teksi, seakan-akan sistem penghambaan zaman moden," katanya.
Bagaimanapun, Najib mengakui bukan semua program yang dilancarkan oleh kerajaan pimpinan beliau boleh dikatakan berjalan dengan lancar tetapi itu tidak bermakna ia tidak boleh diperbaiki atau ditambah baik.
Beliau berkata, ini kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini adalah untuk menjaga kebajikan dan membela nasib masa depan rakyat.
"Kita bukan mahu menyusahkan rakyat, melanggar undang-undang dan menghancurkan negara tetapi kita bangunkan negara supaya hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.
"Berbeza dengan pembangkang. Mereka buat Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0 tetapi kerajaan pimpinan BN, kita buat program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) 1.0 dan 2.0, dan bantuan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) 1.0 dan 2.0," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan