3 Mac 2013

Sambutan ceramah pembangkang di Bangi, Tampin hambar

Ceramah Pas yang hanya disaksikan sekitar 30 orang di Felda Bukit Rokan Utara, Gemas, Negero Sembilan, semalam. 
*****
BANGI 27 Feb. - Ceramah pakatan pembangkang di Padang Awam Bandar Sri Putra 5, di sini malam tadi berlangsung dalam keadaan hambar dengan dihadiri sekitar 50 orang sahaja.
Ternyata ceramah yang diadakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) itu tidak berjaya menarik kehadiran ramai ahli parti itu dan penduduk setempat.
Ceramah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dan ADUN Kajang, Lee Khim Shee juga tidak berjaya menarik perhatian kira-kira 2,000 penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bandar Baru Bangi, milik kerajaan negeri Selangor yang tinggal di asrama tidak jauh daripada padang itu.
Dalam ceramahnya, Shafie yang tiba pukul 11.30 malam antara lain mempertahankan tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan dan manifesto pakatan pembangkang yang diumumkan di Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, di TAMPIN, Pas Negeri Sembilan semakin angkuh dengan melaungkan pakatan pembangkang akan mengambil alih negeri ini dalam tempoh enam minggu lagi dalam ceramah yang hanya disaksikan sekitar 30 orang di Felda Bukit Rokan Utara, malam semalam.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Taufek Abd. Ghani dalam ucapannya berkata, selepas enam minggu nanti, pakatan pembangkang sudah pun berkuasa dan setiap ceramah akan diadakan di dewan besar.
Ceramah yang diadakan sempena majlis pelancaran jentera pilihan raya Unit Peti Undi (UPU) Felda Bukit Rokan dan penjelasan isu Kalimah Allah itu juga tidak dihadiri pemimpin DAP mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tiada ulasan: