PULAU PINANG 20 Mac - Alasan kerajaan DAP Pulau Pinang bahawa pembinaan terowong dasar laut yang mahu dilaksanakannya merupakan kesinambungan projek kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu adalah tidak benar.
Pengerusi Penaja Kelab Setia 1Malaysia, Lim Boo Chang berkata, meskipun Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mempertimbangkan pembinaan terowong tersebut tetapi mesyuarat Exco telah memutuskan untuk memilih Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Menurutnya, kerajaan BN dahulu berpendapat kewujudan terowong berkenaan boleh menggagalkan hasrat untuk menjadikan pelabuhan di negeri ini sebagai hab ekonomi antarabangsa.
"Alasan pembinaan terowong dasar laut pernah dipertimbangkan kerajaan BN dahulu tidak boleh dipakai lagi.
"Ini kerana kerajaan BN telah memilih Jambatan Kedua Pulau Pinang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini mendesak kerajaan negeri membatalkan projek berkenaan kerana bimbang bahagian pulau akan menjadi kawasan tidak sihat didiami, selain pelbagai implikasi lain terhadap alam sekitar.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini bertegas untuk meneruskan projek mega bernilai RM6.3 bilion yang mengandungi pembinaan terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer (km) dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Butterworth, jalan pintas sepanjang 4.6km dari Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bandar Air Itam dan jalan empat lorong sepanjang 12km
menghubungi Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.
Boo Chang yang juga bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bukit Gelugor memberitahu, terowong berkenaan sememangnya tidak dialu-alukan oleh rakyat negeri ini.
Bagaimanapun katanya, Guan Eng gagal untuk mendapatkan pandangan rakyat terlebih dahulu dan terus membuat keputusan mahu meneruskan projek berkenaan.
Beliau menambah, cadangan untuk mengenakan tol kepada pengguna terowong juga bakal mengundang kemarahan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan