SHAH ALAM 1 Mac. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chiang atau Tian Chua disifatkan tidak layak menggelarkan dirinya sebagai warganegara Malaysia kerana mempolitikkan isu keselamatan negara semata-mata untuk meraih undi.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, tindakan Tian Chua yang menuduh UMNO kononnya terlibat dalam konspirasi tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah hari ini jelas menunjukkan pemimpin PKR itu tidak bertanggungjawab selain didakwa cuba menyemai kebencian di kalangan rakyat.
Beliau menegaskan, Tian Chua sepatutnya memahami lebih jelas situasi tersebut dan kesannya kepada negara memandangkan beliau sendiri terlibat dalam proses pengubalan undang-undang sebagai salah seorang daripada Ahli Parlimen.
"Sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya bertanggungjawab mempertahankan negara. Namun, melihat daripada kenyataan beliau itu, apakah beliau sebenarnya layak untuk menggelarkan dirinya sebagai warganegara apatah lagi sebagai seorang Ahli Parlimen.
"Tuduhan beliau itu sememangnya langsung tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mahu mencetuskan kebencian rakyat. Kalau diikutkan tindakan sedemikian, taraf kerakyatan beliau patut dilucutkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan bersama MyFRENZ United, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada kalangan golongan muda Selangor di Politeknik Shah Alam, di sini malam ini.
Yang hadir sama dalam majlis yang dihadiri lebih 1,000 anak muda itu ialah Presiden dan Pengasas MyFRENZ United, Dr. Mohd. Hisam Ismail.
Tian Chua hari ini mengeluarkan kenyataan di dalam portal Keadilan Daily bahawa insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Sabah merupakan konspirasi UMNO kononnya bagi mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.
Beliau mendakwa, pencerobohan tersebut tidak mendapat perhatian media tempatan sebaliknya hanya dilaporkan oleh media asing.
Dalam pada itu, Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang menegaskan kejadian tembak-menembak itu telah menyebabkan dua anggota polis iaitu Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46 terkorban.
"Bagaimana Tian Chua boleh membuat tuduhan sedemikian sedangkan kejadian itu telah meragut nyawa anggota pasukan keselamatan kita. Apakah kita sanggup mengorbankan nyawa anggota pasukan keselamatan kita sendiri, di manakah logik Tian Chua ini," ujarnya. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan