20 Mac 2013

TPM: Persiapan lebih PRU-13

PUTRAJAYA 18 Mac - Barisan Nasional (BN) sudah membuat persiapan lebih daripada biasa untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan yakin dapat mempertahankan kemenangan berdasarkan perhitungan terkini daripada pelbagai pihak.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sokongan untuk BN secara umumnya bertambah baik dengan kumpulan pemikir dan pakar ekonomi menyimpulkan parti itu dapat mempertahankan kuasa pentadbiran.
''Kalau boleh kita mahu memperkukuhkan keadaan di kawasan tumpuan dan isu-isu yang ada perlu ditangani.
''Kita akan lakukan persiapan berlainan untuk tahap yang berbeza seperti tempoh sebelum pembubaran, selepas pembubaran, hari penamaan calon, tempoh berkempen dan seterusnya persiapan paling rapi pada hari mengundi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis dialog bersama Veteran UMNO Wilayah Persekutuan (WP), Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia WP dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) WP di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Mubarak WP, Abdul Aziz Yassin; Pengerusi Veteran UMNO WP, Datuk Zakaria Salleh dan Pengerusi Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan WP, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau mahu ahli dan pemimpin UMNO serta BN di peringkat bahagian memberi sokongan penuh kepada setiap calon yang diumumkan untuk mewakili parti dalam PRU-13.
Beliau berkata, terdapat kekangan dalam menentukan calon parti di mana proses tersebut terikat dengan amalan tertentu selain kedudukan seseorang dalam parti.
''Kita terikat dengan konvensyen, amalan, soal menghormati dan (perlu ambil kira) siapa ketua bahagian dan ketua sayap.
''Yang paling penting, bahagian perlu bersedia menerima calon yang diletakkan dan tidak timbulkan masalah sehingga berbalah sesama sendiri. Kalau tidak, kita kena uruskan hal ini untuk mengurangkan kerosakan," katanya.
Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa orang yang akan mewakili BN dan UMNO merupakan calon yang munasabah dan boleh diterima rakyat.
''Dia tidak semestinya berkelulusan tinggi, di sesetengah kawasan terdapat calon berpengalaman yang diterima baik," katanya.

Tiada ulasan: