KUALA LUMPUR 2 April - Amalan bercanggah dengan akidah yang dibawa Nabi Muhammad SAW merupakan punca utama bekas Timbalan Ketua Keselamatan Pas Kelantan, Shaidi Husin, 45, nekad meninggalkan parti itu pada 10 Oktober 2010.
Beliau mendakwa, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak sifat 20 bagi Allah SWT yang wajib diketahui oleh seluruh umat Islam.
Menurutnya, Nik Abdul Aziz juga pernah mempertikaikan sambutan Maulidur Rasul yang diraikan bagi menghayati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.
''Saya juga tidak setuju apabila Pas tergamak bersekutu dengan DAP dalam pakatan pembangkang sedangkan UMNO dituduh kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC,'' katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi temu ramah bersama media dan ulama-ulama pondok Kedah dan Kelantan.
Shaidi juga kesal dengan kegagalan Nik Abdul Aziz melaksanakan hukum hudud terhadap seorang wakil rakyat Pas yang ditangkap berzina dengan seorang wanita yang masih bersuami di stesen kereta api di Kuala Krai, Kelantan pada 2004.
Jelas beliau, wakil rakyat terbabit telah dibawa berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan itu di kediamannya di Pulau Melaka supaya dihukum mengikut hudud.
''Nik Abdul Aziz minta saya pulang ke rumah selepas berjanji akan melakukan solat sunat istikharah bagi mendapatkan petunjuk Allah SWT.
''Keesokannya, saya datang lagi berjumpa Nik Abdul Aziz untuk bertanya apa keputusan beliau. Saya amat terkejut apabila Nik Abdul Aziz kata Allah SWT telah memaafkan wakil rakyat tersebut dan pasangannya,'' ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan