KOTA BHARU 1 April - Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih belum membubarkan Parlimen, bukan bermaksud Barisan Nasional (BN) takut menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh sebaliknya menjelaskan, ia bagi membolehkan semua perkara terutama transformasi yang dilakukan kerajaan untuk faedah rakyat termasuk manifesto BN, dilaksanakan terlebih dahulu.
Menurut Mohamad Fatmi, sebagai Perdana Menteri, Najib seorang pemimpin yang amat berhati-hati dalam membuat keputusan bagi mengelak timbul sebarang masalah di kemudian hari.
"Tidak timbul soal takut atau berani, beliau (Perdana Menteri) seorang yang amat berhati-hati.
"Beliau mahu semuanya sedia sebelum pilihan raya terutamanya janji-janji kerana janji yang dibuat dalam manifesto akan dinilai terlebih dahulu adakah ia mampu dilaksanakan sepenuhnya. Beliau tidak seperti pembangkang yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi tidak mampu untuk menunaikannya," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Warga Polis Parlimen Kota Bharu di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman; Ketua MCA Bahagian Kota Bharu, Tan Ken Ten dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Ghani Wan Yusof.
Sementara itu, Mohamad Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, rakyat harus berterima kasih kepada pihak polis dan tentera yang berkorban jiwa raga untuk mempertahankan negara.
"Negara kita yang ada hari ini adalah hasil sumbangan pihak polis, kalau pihak polis tidak bekerja kuat sudah lama negara ini diperintah oleh komunis
"Kita tahu hari ini ancaman politik dan dari luar amat hebat tetapi sudah tentu sekali lagi pihak polis dan tentera keluar menyelamatkan kita," katanya.
Menurut beliau, selain daripada soal keselamatan, ancaman politik juga sama hebatnya kerana pihak terbabit akan melakukan apa saja demi kuasa.
"Sekali lagi polis telah memainkan tanggungjawab dan inisiatif untuk mengekang ancaman ini. Kita sudah melihat bagaimana pihak pembangkang memberi petunjuk-petunjuk ke arah itu.
"Contohnya ada timbalan presiden parti bercakap komunis pejuang negara dan ada pemimpin yang mahu menukar bendera kononnya bendera Malaysia hari ini sudah ketinggalan zaman dan disadur daripada bendera Amerika Syarikat," katanya.
Peristiwa Lahad Datu pula katanya, lebih menyerlahkan warna sebenar pembangkang apabila ada pemimpin mereka yang mendakwa insiden berkenaan merupakan sandiwara UMNO dan BN.
"Inilah bibit-bibit kehancuran dan kita tidak boleh bertolak ansur dengan pihak yang menganggu gugat keselamatan negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan