3 April 2013

DAP kecewa Anwar umum calon

ALOR SETAR 1 April - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama calon PKR bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah dan Alor Setar semalam, mengecewakan DAP negeri kerana tidak mengambil kira pandangan parti itu.
Pengerusi DAP negeri, Lee Guan Aik berkata, tindakan Anwar itu mungkin akan menyebabkan berlaku pertembungan tiga penjuru di dua kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Katanya, pertembungan antara PKR dan DAP mungkin berlaku di kerusi Parlimen Alor Setar dan Padang Serai manakala bagi kerusi DUN di Kota Darul Aman, Bakar Arang, Derga, Bakar Bata, Lunas dan Gurun.
"Kita kecewa kerana Anwar tidak bincang dahulu dengan DAP sebelum buat pengumuman," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, dalam ceramahnya di Taman Berjaya dan Bilik Gerakan PKR Kuala Kedah, Anwar mengumumkan Ketua Biro Perundangan PKR, Gooi Hsiao Leung sebagai calon PKR di kerusi Parlimen Alor Setar manakala kerusi Parlimen Kuala Kedah, Ketua Cabang PKR Kuala Kedah, Dr. Azman Hashim diumum menggantikan Datuk Ahmad Kassim.
Pada pilihan raya umum lalu, Kedah yang mempunyai 36 kerusi DUN menyaksikan Pas bertanding di 24 kerusi, PKR (10 kerusi) dan DAP (dua kerusi) manakala DAP dan PKR bertembung di kerusi DUN Derga akibat enggan mengalah.

Tiada ulasan: