Najib Tun Razak ketika sidang akhbar
Majlis Penyerahan Surat Watikah Pelantikan Senarai Calon Barisan
Nasional di Ibu Pejabat BN, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia
Putra, Kuala Lumpur semalam.
*****
Ikut pada jadualnya, parti-parti komponen BN akan memaklumkan senarai masing-masing pada hari ini dan secara serentak esok Pengarah atau Pengerusi BN peringkat negeri akan menyampaikan surat watikah.
Dari segi UMNO kita akan rangkum semua sekali esok. Pengumuman akan dibuat untuk calon-calon UMNO, parti komponen akan maklumkan pada hari ini. Senarai yang akan merupakan barisan calon BN ini merupakan barisan pada hemat saya yang terbaik dan mampu kita sediakan.
Ia merupakan satu proses yang panjang yang dilakukan pada kali ini meliputi banyak perundingan dengan parti komponen BN dan juga Pengerusi-pengerusi BN peringkat negeri. Kita ambil kira sentimen dan jangkaan daripada pengundi untuk melihat perubahan pada senarai calon BN.
Oleh itu dari segi Parlimen kita membariskan muka-muka baru dalam lingkungan 33 peratus. Pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bilangan muka-muka baru adalah seramai 49 peratus iaitu hampir 50 peratus terdiri daripada calon baru.
Ini untuk memenuhi kehendak dan jangkaan pengundi bahawa mereka ingin melihat kepada BN dan UMNO yang sudah bersedia melakukan perubahan dan pembaharuan. Di samping itu kita juga cuba ambil kira perlunya kita membariskan wakil-wakil rakyat sedia ada terdiri daripada mereka yang ada pengalaman berkhidmat sama ada dalam kerajaan atau wakil rakyat.
Ini adalah kerana imbangan muka-muka baru dan mereka yang ada pengalaman adalah amat penting, sebab kita bukan sahaja perlu menampilkan pembaharuan tetapi sebagai sebuah parti yang dengan mandat baru akan menubuh kerajaan akan datang, kita juga perlu mempunyai mereka yang mampu untuk mentadbir kerajaan dan berkhidmat kepada rakyat.
Kalau mereka yang menduduki kerajaan semuanya muka baru, tiada pengalaman langsung, maka ini akan membantut kemampuan kerajaan BN untuk memenuhi jangkaan dan harapan rakyat. Saya harap penilaian barisan kita ini dilihat dalam konteks secara menyeluruh.
Maknanya bukan sahaja mereka yang bertanding tetapi kemampuan barisan ini dalam konteks untuk menubuhkan kerajaan yang ampuh, kuat dan mampu memenuhi kehendak dan jangkaan rakyat pada masa-masa akan datang.
Maknanya dalam melangkah ke hadapan kita perlu melihat selepas pilihan raya ini, bukan sahaja dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi apa kesudahannya, dan kita mesti memiliki barisan yang mampu melaksanakan segala-gala aku janji dalam manifesto BN.
Jadi, itulah prinsip dan falsafah yang telah kita gunakan dan pada mereka yang tidak terpilih oleh parti, saya berharap mereka melakukan yang terbaik untuk parti dan sekiranya ada apa-apa kelemahan dan kekurangan, parti akan bertindak untuk mengatasinya.
Pada mereka yang tidak terpilih bukan bererti mereka gagal, bermasalah atau ada kepincangan tetapi dalam keadaan di mana masyarakat serta pengundi menuntut kepada perubahan maka sebahagian daripada anggota kita terpaksalah memberi laluan, kalau tak beri laluan tiadalah perubahan.
Sebab itulah saya nak berterima kasih kepada semua wakil rakyat termasuk dalam anggota pentadbiran, sekiranya mereka tidak bertanding, ini bukan satu penafian atas khidmat mereka dan sumbangan mereka selama ini.
Kerajaan tetap menghargai apa yang mereka telah lakukan dan saya amat berharap mereka terus menyokong parti dan memberi sokongan dalam masa pilihan raya ini dan selepas pilihan raya ini.
(Sidang akhbar diikuti dengan soalan daripada wartawan)
WARTAWAN: Boleh Datuk Seri berikan sedikit latar belakang mereka yang ditampilkan sebagai muka baru ini?
Najib: Kita cuba untuk melakukan secara inklusif umpamanya di peringkat Parlimen kelayakan akademik diploma dan ke atas adalah 91 peratus merupakan calon kita yang memiliki kelayakan akademik minimum. Ini dari segi penyertaannya kita ada pelbagai latar belakang.
Golongan profesional kita ada 31 peratus termasuk profesor universiti, Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), badan-badan agensi kerajaan, ada juga profesional lain seperti doktor, peguam, ulama dan sebagainya serta ada juga mereka yang popular di akar umbi.
Ini kerana tidak semua wakil rakyat akan jadi anggota kerajaan, sebaliknya ramai yang akan menjadi ahli penyokong BN untuk berkhidmat kepada kerajaan, jadi tumpuan adalah kebolehan mereka untuk menjadi pemimpin.
Adakah akan ada perubahan dalam senarai calon yang telah dimuktamadkan ini sekiranya ada calon-calon yang tidak diterima oleh rakyat?
Ini adalah senarai calon terakhir dan saya berharap tidak akan ada perubahan. Saya juga amat berharap tidak akan berlaku suasana yang boleh menyebabkan senarai ini berubah. Dari segi undang-undang dan teknikal memang kita boleh melakukan perubahan tetapi kita tetap berharap inilah senarai calon akhir kita.
Kita juga berusaha menampilkan calon-calon sama ada dalam kalangan pemimpin sedia ada atau daripada golongan muda secara adil dan seimbang. Kadang-kadang pemilihan calon bergantung juga kepada persekitaran sesebuah kawasan. Walau bagaimanapun kita akan lakukan yang terbaik.
Apakah tawaran yang boleh diberikan oleh BN melalui senarai calon kali ini?
Umumnya saya yakin ini pasukan BN yang terkuat mampu kita tampilkan dan saya yakin bahawa inilah pasukan yang mampu memenuhi aku janji manifesto dan membantu kerajaan dalam menjayakan Dasar Transformasi Nasional. Saya juga cuba untuk menampilkan secara inklusif sebanyak mana yang mungkin dari segi prinsip untuk melakukan inklusif.
Dari awal lagi Datuk Seri menjangkakan yang BN boleh menang.
Ya, tetapi kita tidak mungkin boleh menang semua kerusi. Ini tidak realisitik namun kerusi-kerusi yang tidak menang kita cuba tampilkan calon-calon yang serius.
Ada atau tidak antara anggota Kabinet yang tidak tersenarai?
Ada tetapi esok kita akan ketahui.
Pemimpin-pemimpin yang sudah agak veteran terutama berusia 70 tahun dan ke atas, adakah mereka masih lagi terpilih?
Esok akan diumumkan. Saya tidak mahu pergi secara detail. Hari ini saya buat secara prinsip secara umum. Esok akan diketahui.
Dalam manifesto BN ada dikemukakan usaha untuk memperkasakan wanita. Adakah jumlah calon wanita akan ditonjol lebih banyak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini?
Kita cuba tetapi tidak semudahnya sebab kita ada kekangan tertentu. Ini kita akan tokok tambah lagi dengan pelantikan wanita dalam beberapa jabatan yang lain seperti Dewan Negara dan sebagainya.
Bagaimana pula dengan Pemuda?
Dalam keadaan ini kita akan membuat pembahagian yang sebaik-baik yang mampu kita lakukan.
Berapakah jumlah kerusi yang ditandingi oleh UMNO untuk pilihan raya umum kali ini?
Anda akan tahu esok.
Sudahkah Datuk Seri memuktamadkan pasukan Datuk Seri sendiri?
Bagi saya ini adalah pasukan transformasi untuk BN.
Empat puluh sembilan peratus jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diisi oleh calon-calon baharu. Kawasan manakah yang paling banyak terlibat.
Perubahan yang besar berlaku di negeri-negeri yang kita tewas dahulu. Jadi di negeri-negeri terbabit kita banyak isi dengan muka-muka baharu.
Sejauh mana kekuatan calon BN yang akan bersaing dengan pihak pembangkang?
Itu pun kita ambil kira. Maknanya kita akan letakkan calon kita yang boleh mengatasi calon pembangkang, tidak kira calon pembangkang itu sehebat mana.
Untuk pilihan raya umum kali ini akan menyaksikan banyak perubahan dan sudah tentu ada pihak yang kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon. Bagaimana Datuk Seri menghadapi keadaan seperti ini?
Saya lebih risaukan tentang kekecewaan rakyat.
Banyak pemerhati menyatakan pilihan raya umum kali ini merupakan ibu segala pilihan raya. Jadi, apa mesej Datuk Seri kepada rakyat?
Sama ada ini adalah ibu segala pilihan raya atau apa-apa sekali pun, paling penting saya mahu menyatakan kepada rakyat bahawa BN mempunyai aku janji atau manifesto yang terbaik untuk rakyat. Kita juga akan menampilkan barisan calon yang saya yakin akan diterima oleh rakyat. Kita juga akan menggabungkan barisan pemimpin yang bijak dan berpengalaman untuk mentadbir negara ini.
Sepanjang kempen pasti akan ada beratus ceramah oleh parti-parti politik yang bertanding. Bagaimana pula dengan strategi BN?
Saya percaya pada pilihan raya umum kali ini selain yang berbentuk konvensional, 'perang' melalui alam siber juga dijangka cukup hebat. BN akan sentiasa bersiap sedia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan