6 April 2013

Kayuhan Patriotik 1Malaysia meriah, misi Road to Rio diteruskan jika BN menang

Najib Tun Razak bersama 10,000 orang menyertai Program Kayuhan Patriotik 1Malaysia yang bermula pada pukul 5.30 petang di hadapan Kementerian Kewangan, Presint 2 dan berakhir di hadapan Istana Kehakiman mengelilingi sekitar Putrajaya, semalam. 
*****
PUTRAJAYA 3 April - Walaupun bakal berdepan dengan cabaran Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap ceria ketika menghadiri program Kayuhan Patriotik 1Malaysia di sini hari ini.
Najib tiba di tempat permulaan kayuhan di hadapan Kementerian Kewangan tepat pukul 5 petang.
Sejurus keluar dari kereta, beliau kelihatan tersenyum dan melambai kepada kira-kira 10,000 orang yang menyertai program itu.
Najib yang memakai kemeja T dan jaket sukan serta menunggang basikal Mountain Bike berwarna putih berjaya menghabiskan kayuhan sepanjang 12 kilometer (km) bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Yang turut hadir, menteri-menteri Kabinet termasuk Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Datuk Seri S. Subramaniam, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Selepas mengakhiri kayuhan sepanjang 12 km dengan mengelilingi Putrajaya, Najib dan pemimpin lain berehat dan minum petang di Dataran Putrajaya sebelum berucap kepada 10,000 peserta.
Aktiviti yang diadakan sempena dengan ulang tahun keempat Najib menerajui kerajaan Malaysia itu turut diserikan dengan persembahan artis tempatan seperti penyanyi Fida Ibrahim, Lan Kristal, Ani Mayuni dan ramai lagi.
Dalam ucapannya, Najib sempat berjenaka dengan menyatakan beliau 'tertipu' apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan jarak kayuhan hanya 12 km.
''Saya kayuh punya kayuh tetapi tak sampai destinasi lagi. Dia (Ahmad Shabery) kata satu kilometer lagi untuk sampai destinasi, sebenarnya bukan satu kilometer tetapi tiga kilometer.
''Ini membuktikan anggota Kabinet Malaysia tetap cergas dan berjaya menghabiskan lebih 12km," katanya.
Menariknya, ketika menuju ke kereta bagi meninggalkan majlis, Najib tertarik mendengar nyanyian lagu Anak Kampung yang dipopularkan oleh penyanyi dari Sabah, Jimmy Palikat.
Perdana Menteri kelihatan berhenti sebentar berhampiran kereta beliau dan menyanyikan lagu tersebut di hadapan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Sementara itu Ahmad Shabery memberi jaminan misi Road to Rio yang mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta dalam Belanjawan 2013 akan diteruskan sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada Barisan Nasional untuk memerintah semula.
Menurut beliau, program tersebut yang dirancang bagi tempoh empat tahun untuk menjayakan Sukan Olimpik Rio 2016 membuktikan BN serius meningkatkan imej sukan negara di peringkat antarabangsa.

Tiada ulasan: