19 April 2013

PM perjelas isu pencalonan Kamilia

bhnews@mediaprima.com.my
PM perjelas isu pencalonan Kamilia  
Najib dan Rosmah pada pelancaran Jaringan Wanita Ibu Tunggal Malaysia di PWTC, semalam.
  ******
Najib nafi dakwaan BN tak beri tempat kepada wanita
Kuala Lumpur: Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim telah ditawarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan dan jawatan EXCO negeri jika Barisan Nasional (BN) menang di Perak, tetapi menolaknya kerana mahu bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berikutan itu kerusi berkenaan diberikan kepada calon lain, sekali gus menolak dakwaan kononnya BN tidak memberikan tempat kepada pemimpin wanita.
“Datuk Kamilia sudah ditawarkan bertanding DUN Bukit Chandan tetapi beliau menolak. Tawaran itu, termasuk juga sekiranya kita menubuhkan kerajaan negeri, beliau ditawarkan jawatan EXCO tetapi ditolak.

Keputusan Kamilia sendiri
“Itu adalah keputusan yang beliau buat dan tidak timbul sama sekali beliau tidak diberi tempat atau tidak dihargai oleh BN,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jaringan Wanita Ibu Tunggal Malaysia (JUWITA), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Selasa lalu, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan penyandang kerusi DUN Bukit Chandan, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Sebelum ini, Kamilia dikatakan bakal bertanding di kerusi Parlimen berkenaan menggantikan penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz.

Terus beri sumbangan
Mengulas lanjut, Najib berkata, BN berpendapat lebih baik Kamilia bertanding DUN dan menjadi EXCO untuk terus memberikan sumbangan kepada pembangunan negeri dan negara.

Beliau berkata, bekas Presiden GERAKAN, Tun Lim Kheng Yaik pernah bertanding kerusi DUN di Perak dan menjadi EXCO serta memberikan sumbangan kepada pembangunan negeri.

“Sebenarnya, sebagai EXCO, jika diterima tawaran itu, Datuk Kamilia boleh main peranan bukan saja dalam negeri, malah dalam konteks negara,” katanya.

Tak pendam perasaan
Ditanya mengenai pemimpin BN yang tidak dicalonkan, Najib berkata, mereka bertenang dan memahami bukan mudah untuk BN memberikan kepuasan kepada semua pihak.

“Oleh itu, kepada mereka yang rasa sedikit kekecewaan, saya harap tidak memendam perasaan dan fikirlah masa depan parti bahawa pilihan raya ini kita memerlukan kesetiaan dan sokongan daripada setiap anggota parti.

“Yang paling penting, kita hendak tubuh kerajaan. Bila kita tubuh kerajaan, kita boleh membantu mereka dengan banyak cara tetapi jika kita tidak ada kuasa, kita tidak boleh bantu,” katanya.

Sehubungan itu, Najib menegaskan barisan 222 calon Parlimen dan 505 calon DUN BN yang diumumkan di setiap negeri adalah pasukan terbaik yang mampu menjamin masa depan negara. 
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PMperjelasisupencalonanKamilia/Article/ | hwa - 19/4/13

Tiada ulasan: