17 April 2013

Politik ortodoks jadikan PAS parti songsang

Dr Alias Mohamed 
Puak konservatif cipta fatwa karut sebagai ikhtiar terus pegang kuasa
Tindakan mengambil pendekatan politik bagi semua tindak-tanduk dan selok-belok pentadbiran dan pemerintahan negeri adalah punca perpecahan dalam masyarakat Melayu Kelantan.
Dalam hal ini, bukan saja pemimpin negeri itu yang mengasingkan diri daripada rakyat yang bukan penyokong parti mereka tetapi juga penyokong kepemimpinan negeri berkenaan. Inilah punca perpisahan, perceraian dan dikotomi yang bukan saja membabitkan fabrik sosial, bahkan juga jaringan agama dan politik orang Melayu.
"Situasi ini selalunya berlaku apabila pemimpinnya seorang yang berpandangan cetek, orthodoks atau konservatif dan berlatar belakangkan pendidikan ‘Duoband’ ala Taliban”
Kebiasaannya dalam milieu politik yang matang, perbezaan ideologi parti tidak semestinya membabitkan hubungan sosial yang tegang, cemas, ‘frictional’, dan berkonflik, bahkan provokatif dan konfrontasional.

Situasi ini berlaku apabila pemimpinnya seorang yang berpandangan cetek, ortodoks atau konservatif dan berlatarbelakangkan pendidikan ‘Duoband’ ala Taliban.

Sebab itu dalam negara yang masih memberi tempat kepada saki-baki konservatisme dan orthodoksi, maka percubaan untuk mempengaruhi dan mengubah pemimpin mereka amatlah sukar, kecuali pengikutnya yang berpelajaran dan mendapat petunjuk baru dalam ilmu yang dipelajari meninggalkan pemimpin mereka atau parti yang mempromosi bibit perpecahan.

Fatwa UMNO kafir
Di negara kita ‘sikap dan pendirian’ Welstanchuung atau ‘enlightenment’ ini mengambil masa begitu lama untuk mengubah keadaan, memikirkan PAS ditubuhkan sejak 1951 lagi.

Sungguhpun tiada berlaku kecikcukan (keriuhan) politik dan agama secara serius seperti sekarang, yang mana UMNO difatwakan oleh pemimpinnya sebagai kafir, darah orang UMNO halal dan baiah, namun kepemimpinan PAS yang diterajui oleh Ahmad Fuad, Dr Abbas Alias, Dr Burhanuddin El-Helmy dan bahkan Tan Sri Mohd Asri Muda dari 1950-an hingga 1980-an tidak pernah memimpin parti mereka ke arah kehancuran seperti itu.

Trend kemusnahan ini bermula pada 1990 apabila seorang pemimpin menganggap dia terlalu popular dan kebal.

Bahkan Datuk Yusoff Rawa yang juga bekas duta negara ke Iran serta Datuk Fadzil Noor menyimpang jauh daripada fatwa dan tuduhan semberono dan keterlaluan terhadap UMNO yang sebangsa serta seagama dengan mereka.

Masalah sesetengah pemimpin PAS ialah keselesaan menjadi pemimpin dengan elaun kerajaan besar pada masa ini dan kemudahan serta kedudukan seperti wakil rakyat dan menteri besar bertahun-tahun mengubah mereka.

Setiap kali pilihan raya mereka terpaksa mencipta slogan dan meneroka ikhtiar baru untuk menentang lawan, sungguhpun klise baru yang dicipta itu terus-terang menentang aliran perdana masyarakat dan agama.

Ilmu politik karut
Namun, seperti dalam ilmu ekonomi berdasarkan teori ‘Law of Diminishing Return’, hukum ini beroperasi sekiranya ramai penyokong PAS meninggalkan parti atau pemimpinnya apabila berlaku kegersangan penyokong dalam parti tersebut kerana sesuatu sebab.

Hukum ini boleh diaplikasikan juga kepada kawasan pilihan raya yang tidak lagi boleh diperluaskan atau ditambah konstituensinya kerana bilangan pengundinya merosot atau penduduk sesuatu kawasan tidak ramai sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mampu lagi untuk memecahkan kawasan pilihan raya menjadi beberapa konstituensi baru.

Trend politik ciptaan mereka ini diharap tidak berpanjangan. Akan ada satu masa kelak pemimpin ortodoks seperti itu akan dipinggirkan.

Kematian ilmu politik karut ini yang dibawa oleh pemimpin berpendidikan ‘Duoband’ lambat-laun akan berlaku selepas lebih ramai golongan ulama muda dan pelajar serta cerdik pandai agama mengambil alih institusi pendidikan kerajaan, pondok agama, pusat tahfiz al-Quran dan bahkan dewan tarbiah mereka.

Langkah Kerajaan Pusat memakmurkan pusat pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran, pejabat baru kerajaan dan tenaga pekerja yang bergiat dalam beberapa projek pembangunan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan adalah satu lagi perubahan akan tetap berlaku.

Semua ini, seiringan dengan rakyat yang insaf tentang fenomena perpecahan dan kehancuran ‘Arab Spring’, Kelantan untuk mengubah haluan dan visi politik pemimpin baru dan penyokong PAS Kelantan. Kita berharap kabus tebal yang selama ini menutupi langit Kelantan akan menampakkan cahaya gemerlapan.

Penulis ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PolitikortodoksjadikanPASpartisongsang/Article/ | hwa - 17/4/13 

Tiada ulasan: