22 April 2013

PRU-13: Penduduk kesal khutbah Jumaat berbaur politik

KUALA KRAI 21 April - Penduduk di daerah ini kesal dengan tindakan seorang imam yang menyampaikan khutbah Jumaat berbaur politik untuk mempengaruhi rakyat supaya mengundi parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Masjid Tengku Faris Petra di sini kelmarin apabila imam masjid berkenaan meminta rakyat supaya memilih pemimpin yang miskin memandangkan rakyat Kelantan juga didakwa miskin.
Seorang penduduk yang menunaikan solat Jumaat di masjid itu, Mohd. Rawi Ibrahim, 50, mendakwa, khutbah Jumaat itu disampaikan imam yang mendapat kelulusan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (JHEAIK).
"Saya sangat sedih kerana khutbah Jumaat itu, imam menyeru supaya rakyat Kuala Krai memilih pemimpin yang miskin kerana rakyat Kelantan sendiri dikatakan orang miskin.
"Menurut imam itu, jangan pilih orang kaya kerana belum pasti kekayaan dia itu halal atau haram dan kalau orang kaya, dia hanya akan gunakan rakyat untuk mengekalkan kekayaannya," dakwanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: