21 April 2013

Strategi DAP salahkan ROS terserlah

PULAU PINANG 19 April - Strategi DAP menyalahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam kontroversi berhubung kesilapan pengiraan undi pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) semakin terserlah selepas Lim Guan Eng hari ini melahirkan rasa bimbang penyokong parti itu tidak mengundi mereka kerana tidak 'menjumpai' lambang roket pada hari pengundian.
Setiausaha Agung DAP itu juga mengakui takut menggunakan lambang 'bulan' Pas dalam pilihan raya umum kali ini kerana beranggapan penyokong parti itu tidak akan mengundi calon DAP di bawah lambang tersebut.
"Bagi pengundi yang tidak biasa dengan lambang Pas, kita takut nanti sewaktu mereka turun ke pusat pembuangan undi, mereka tidak mengundi kerana tidak jumpa lambang roket.
"Kalau tidak boleh menggunakan lambang roket, ini adalah sejarah dalam 47 tahun penubuhan DAP," katanya kepada pemberita di Wisma DAP Negeri, di sini.
Sebelum ini, pelbagai pihak melihat DAP cuba mengambil kesempatan daripada isu kesilapan pengiraan undi pemilihan CEC Disember tahun lalu bagi menyalahkan ROS kononnya parti itu dizalimi sehingga tidak dapat bertanding di bawah lambang parti tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.
Strategi DAP itu ditempelak banyak pihak kerana kesilapan pengiraan undi tersebut berpunca daripada kegagalan kepimpinan DAP sendiri selain dipertikai ahli-ahli mereka yang tidak dijemput menghadiri pemilihan tersebut.
Apa yang menghairankan, tindakan DAP yang mahu bertanding di bawah lambang Pas itu dibuat tanpa alasan kukuh kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan parti tersebut boleh bertanding dalam pilihan raya umum akan datang meskipun sekiranya ROS menggantung CEC DAP.
Dalam pada itu, rasa tidak yakin Guan Eng terhadap calon-calon pilihan raya umum yang dipilih beliau sendiri turut terserlah selepas beliau menggesa semua calon menunjukkan surat watikah pelantikan yang ditandatangani beliau sewaktu penamaan calon esok.
"Kita akan bekalkan setiap calon dengan dua surat watikah pelantikan iaitu satu dari parti dan satu lagi yang dikeluarkan Pas.
"Tetapi tunjuk dulu kepada pegawai SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) di pusat penamaan calon watikah yang dikeluarkan DAP, kalau tidak diterima baru berikan surat yang dikeluarkan Pas itu," katanya.
Tambah beliau, calon DAP di Semenanjung bakal menggunakan lambang Pas manakala calon di Sabah dan Sarawak menggunakan lambang Parti Keadilan Keadilan (PKR).

Tiada ulasan: