18 April 2013

Waran tangkap lelaki sabotaj kain rentang BN

SHAH ALAM 17 April - Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang ahli perniagaan yang gagal hadir bagi menghadapi tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan kain rentang Barisan Nasional (BN) sehingga putus.
Majistret Nurul Syahida Zainal mengeluarkan perintah tersebut terhadap R. Chandran, 47, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Aqeeb Lizalman Nordin Zamery.
Tertuduh sepatutnya didakwa atas pertuduhan dengan sengaja melakukan khianat dengan menarik kain rentang milik BN sehingga putus dan mengalami kerosakan di Taman Seri Muda di sini beberapa hari lalu.
Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan boleh dikenakan denda.
Nurul Syahida membenarkan kes itu disebut semula pada 16 Mei ini bagi membolehkan pertuduhan dibacakan terhadap Chandran. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: