Oleh Zaini Hassan
(Mengenali Dr. Rais Saniman)
SAYA secara peribadi tidak mengenali Dr. Rais Saniman. Beliau
dikenali sebagai seorang tokoh tersohor dalam bidang ekonomi
pembangunan.
Malam kelmarin saya sempat bersama beliau. Sempat berjabat tangan
dengan beliau dan bersembang pendek di satu majlis ilmu di ibu negara.
Dalam usia pertengahan 70-an fikiran beliau masih tajam, kritikal dan rasional. Jiwanya cukup kental.
Dr. Rais bukan calang-calang orang. Beliau adalah salah seorang anak
Melayu yang bertanggungjawab mengadun dan membentuk satu polisi -- yang
gagal difahami dan dijelaskan sehingga kini -- dikenali sebagai Dasar
Ekonomi Baru (DEB atau NEP dalam bahasa Inggeris).
Ia adalah satu dasar yang disifatkan oleh bangsa Cina Malaysia
sebagai telah atau sampai bila-bila akan mendiskriminasikan orang bukan
Melayu, terutamanya mereka, di negara ini.
Orang Cina terutamanya, menganggap bahawa polisi itu, yang
dilaksanakan pada 1970 akibat peristiwa 13 Mei 1969, telah meletakkan
mereka sebagai warganegara kelas kedua atau lebih teruk kelas ketiga.
Tapi benarkah? Benarkah orang Cina selama ini didiskriminasikan oleh kerajaan Melayu Malaysia melalui dasar itu?
Benarkah orang Cina seperti nasib orang kulit putih di Zimbabwe yang
ditindas oleh Mugabe atau orang kulit hitam di Afrika Selatan
dipinggirkan dalam kemunduran dan kehampaan semasa zaman Apartied
dahulu?
Apakah orang Cina Malaysia kebuluran akibat DEB? Adakah mereka
ketinggalan dalam bidang pendidikan akibat dasar itu? Apakah mereka
dinafikan hak untuk mendirikan sekolah ibunda sendiri? Apakah semua
perniagaan dikuasai oleh orang Melayu akibat dasar itu?
Adakah mereka dinafikan bertutur bahasa ibunda mereka sebagaimana di
Indonesia atau Thailand atau juga di Amerika Syarikat? Atau nama mereka
dipaksa tukar mengikut nama Melayu seperti di Indonesia atau Thailand?
Apakah gedung-gedung perniagaan di ibu negara yang hebat Kuala Lumpur
dimiliki oleh Ali, Abu dan Awang? Adakah Ali, Abu dan Awang memiliki
Pavilion, Sunway Pyramid atau di One Utama? Atau mereka dinafikan hak
membeli kereta-kereta mewah?
Atau mereka dinafikan tinggal di kawasan-kawasan mewah di Mont Kiara atau Bukit Damansara?
Atau apa? Adakah orang Melayu menguasai senarai 10 teratas bilionair
negara ini yang memiliki IPP pengeluar tenaga elektrik, memiliki
kilang-kilang gula atau gedung-gedung perjudian terbesar?
Menurut buku tulisan tiga ekonomis yang sama-sama merangka DEB itu:
Just Faaland, Jack Parkinson dan anak Melayu, Dr. Rais Saniman bertajuk:
Growth and Ethnic Inequality (Pertumbuhan dan Ketidaksamaan Etnik):
Realitinya, ialah:
“Sebagaimana bukti-bukti (evidence) menunjukkan, ia sebenarnya adalah terbalik."
“Di bawah regim DEB, populasi bukan pribumi (non-indigenous) bergerak
ke hadapan secara ekonomi lebih jauh berbanding apa yang berlaku ke
atas Bumiputera."
“Melalui Tawaran Sosial 1957 (Social Bargain of 1957), taraf
kewarganegaraan dianugerahkan semalaman hanya menerusi secalitan mata
pena (by a stroke of a pen) kepada sejuta orang bukan-warganegara,"
menurut buku itu yang diterbit di UK oleh C. Hurst & Co (Publishers)
Ltd 1990 dan terbitan kedua oleh Utusan Publications & Distributors
Sdn. Bhd. 2003.
Buku ini wajib dibaca sekiranya orang Melayu mahu melihat realiti
sebenar kedudukan mereka hasil dasar itu. Buku ini wajib dibeli mulai
sekarang.
Buku itu juga wajib dimentelaah dan difahami sekiranya orang Melayu
percayakan kepada Jihad Ekonomi yang perlu dibangkitkan ekoran Tsunami
Cina pada PRU-13 baru-baru ini.
Sebagaimana yang saya jelaskan dalam Cuit bertajuk: Ayuh berjihadlah
orang Melayu, kuasai ekonomi! dan disusuli oleh siri kedua minggu lepas,
telah tiba masanya orang Melayu menguasai ekonomi setelah ketinggalan
begitu jauh dengan bangsa-bangsa lain kita, khususnya Cina.
Orang Cina, sebagaimana yang saya jelaskan amat arif bahawa setelah
mereka menguasai sepenuhnya ekonomi, kini masanya telah tiba untuk
mereka menguasai satu peringkat lagi iaitu kuasa politik.
Ironi sungguh kerana dalam masa mereka menyalahkan DEB, merekalah yang mendapat laba yang cukup hebat daripada dasar itu.
Laba yang kita dapat pula ialah pelajar-pelajar miskin kita mendapat
sedikit hak keistimewaan dihantar belajar ke luar negara melalui
biasiswa kerajaan dan Mara. Di zaman dahulu, kumpulan ini yang pulang ke
tanah air akhirnya akan bertugas dalam sektor kerajaan.
Laba yang kita dapat ialah wujudnya UiTM yang kini menjadi kilang
melahirkan beribu-ribu pelajar -- yang malangnya pasaran kerja di luar
sana dikuasai (sebahagian besarnya) oleh orang Cina.
Satu kajian impirikal (berbentuk saintifik) yang dilakukan ke atas
nasib anak Melayu yang bijak hasil DEB itu, mendapati mereka gagal
mendapat gaji yang sama dengan seorang lagi calon bukan Melayu di sebuah
firma milik kaum bukan Melayu itu, walaupun budak itu kurang bijak
daripada anak Melayu itu.
Satu simulasi telah dilakukan oleh sekumpulan penyelidik profesional
Melayu dengan menghantar resume budak-budak Melayu bijak dengan
budak-budak bukan Melayu yang setaraf, tetapi hasilnya mendukacitakan
budak Melayu.
Tidak puas hati dengan keputusan itu, yang mungkin penyelidik
merasakan wujud sedikit kekhilafan, maka simulasi kedua dilakukan dan
hasilkan; tetap sama.
Budak-budak Melayu yang bijak ini dinafikan hak mereka untuk
mendapatkan gaji yang sama -- 30 peratus lebih rendah daripada calon
Cina itu.
Mengapa? Jawapannya adalah mudah, ia adalah kerana toko-toko,
gedung-gedung dan firma-firma baik kecil atau besar bukan dikuasai oleh
bangsa anak-anak Melayu itu.
Sungguh malang kekayaan mereka hasil daripada DEB, telah menghukum bangsa lain yang memperkenalkannya.
Saya enggan menulis panjang lebar, tapi bacalah buku itu. Saya mohon supaya buku itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Pembaca juga boleh membaca kertas kerja Dr. Rais yang ditulis sempena
50 tahun Merdeka bertajuk: Peranan DEB membina negara Malaysia bersatu
dalam kepelbagaian. (THE ROLE OF THE NEW ECONOMIC POLICY (NEP) IN
BUILDING A UNITED MALAYSIAN NATION IN DIVERSITY)
Kertas kerja itu boleh diikuti menerusi: http://bigdogdotcom.wordpress.com/ 2008/08/10/the-role-of-the-new-
economic-policy-nep-in-building-a-
united-malaysian-nation-in-diversity/
Dalam kertas itu, Dr. Rais merakamkan terima kasih kepada mentor dan
gurunya, Just Faaland (Tan Sri), pengasas Michelsen Institute di Bergen,
Norway yang membenarkan beliau menggunakan sebahagian bahan daripada
kertas kerjanya berkaitan DEB.
Faaland bersama-sama Dr. Rais adalah orang yang bertanggungjawab merangka DEB.
Kertas kerja Faaland itu dibentangkan di satu simposium antarabangsa anjuran Bank Pusat Namibia pada September 2007.
Negara-negara Afrika, kebanyakan menghadapi masalah yang sama seperti
Malaysia, amat berminat mempelajari pengalaman Malaysia melaksanakan
DEB. Iaitu untuk menghasilkan pertumbuhan ekonomi secara maksimum yang
dalam masa yang sama menyeimbangkan kedudukan ekonomi pelbagai ethnik.
Tan Sri Faaland, bekas Penasihat Ekonomi kepada Almarhum Tun Abdul
Razak, semasa pertelingkahan kaum 1969, merangka DEB yang menjadi tulang
belakang sistem ekonomi negara sejak 1970.
Dr. Rais kini ialah Penasihat Kanan di Michelsen Institute di Norway.
Institut ini ialah sebuah pertubuhan hak asasi manusia dan hak-hak
sosio-ekonomi.
Sila baca dan belilah buku itu. Kuasa politik kini sudah gagal
menguasai kebangkitan kuasa ekonomi. Tanpa kuasa ekonomi, orang Melayu
akan hilang.
Ayuh berjihadlah orang Melayu, kuasai ekonomi!