KUALA LUMPUR 13 Mei - Orang Melayu yang mengecam peranan akhbar Utusan Malaysia sebagai nadi perjuangan memartabat maruah bangsa itu disifatkan seperti individu yang lupa asal- usul.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, gelaran itu sesuai bagi menggambarkan keangkuhan golongan tersebut yang sekali gus boleh menggagalkan agenda utama menyatupadukan orang Melayu di negara ini.
Tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab orang Melayu mempertahan Utusan Malaysia yang merupakan satu-satunya wadah yang terbukti membela kaum Melayu dan bumiputera sejak sebelum merdeka hingga kini.
"Dalam konteks ini, tidak kira setinggi mana pendidikan dan taraf kehidupan seseorang Melayu itu, tetapi dia tidak berhak sama sekali mengkritik suara Utusan Malaysia dalam mempertahankan hak orang Melayu.
"Saya melihat mungkin golongan ini sudah lupa asal-usulnya, mereka tidak tahu menilai dan menghargai wadah perjuangan Utusan Malaysia. Baca dahulu apa yang tertulis dalam akhbar Cina sebelum mahu memperlekeh Utusan Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani menerusi akaun Twitter serta Facebook miliknya menyatakan pendirian meluatnya terhadap Utusan Malaysia yang dilabel sebagai tidak mewakili Melayu Malaysia.
Ahli korporat Melayu baharu itu secara terbuka menerusi kedua-dua akaun laman sosial tersebut menyalahkan Utusan Malaysia sebagai rasis kerana menyiarkan artikel di muka hadapan bertajuk 'Apa lagi Cina mahu' pada 7 Mei lalu.
Menerusi akaun Facebook beliau, Azran menulis: "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya anti-perkauman. Saya meluat dengan pendirian pengarang Utusan)."
Dalam akaun Twitter pula, beliau turut menyatakan pihaknya menarik balik iklan Air Asia di Utusan Malaysia.
Tidak cukup dengan itu, Azran menyifatkan Utusan Malaysia sudah tidak relevan dengan jumlah pembaca semakin merosot walaupun hakikatnya jualan akhbar ini bukan sahaja tidak merosot malah meningkat sebanyak 1,000 naskhah sehari.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Muda Malaysia (Perdasama Muda), Datuk Sohaimi Shahadan tidak menolak kewujudan ramai golongan korporat baharu seperti Azran yang tidak tahu menghargai semangat perjuangan Utusan Malaysia.
Katanya, suara Utusan Malaysia sentiasa relevan terutama bagi orang Melayu dan tindakan Azran mempertikai akhbar itu sama sekali tidak berasas dan dipengaruhi emosi semata-mata.
"Berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan kerana sebagai ahli korporat Melayu baharu adalah lebih baik sekiranya dia mengambil sikap berkecuali dan tidak mencampuri urusan politik terutama berkaitan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan