19 Mei 2013

Hentikan politik kebencian

KUALA LUMPUR 15 Mei - Fitnah dan hasutan bermotifkan politik kebencian perlu dihentikan segera kerana hanya menjadi pemangkin kepada ketidakstabilan negara.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir berkata, kejadian yang berlaku sewaktu pilihan raya lalu tidak perlu dijadikan modal untuk pihak pembangkang memporak-perandakan kesejahteraan rakyat.
"Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menguruskan pilihan raya dengan baik, jika masih ada lagi parti tidak berpuas hati, ini menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang.
"Tuduhan tanpa bukti kukuh mampu mencetuskan perpecahan rakyat dan perkara ini seharusnya dielakkan bagi memastikan imej Malaysia tidak terjejas di peringkat antarabangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menggesa pihak-pihak tertentu berhenti menyebar fitnah dan hasutan berbaur politik sehingga boleh menimbulkan kebencian antara rakyat dan menggugat perpaduan serta keamanan negara.
Baginda bertitah, waktu berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 sudah tamat dan tiba masanya untuk semua wakil rakyat bekerja dan menunaikan janji yang dibuat itu.
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Shamsul Adabi Mamat berkata, fitnah berbaur politik yang disebarkan orang ramai tidak wajar kerana bukanlah dirujuk kepada sumber yang tepat, malah hanya berpandukan laman sosial media semata-mata.
"Ironinya apabila insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu turut dipolitikkan dengan menuduh ia sebagai sandiwara yang diada-adakan, walhal itu adalah jenayah serius yang membabitkan nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan negara.
"Rakyat terutama orang muda harus bijak memilih sumber bacaan untuk menjadikan bahan rujukan. Jangan tertipu dengan helah mana-mana pihak yang berniat memecah-belahkan masyarakat dengan menabur fitnah," katanya.

Tiada ulasan: